The 1975 batal konsert di Indonesia, Taiwan lepas cetus kontroversi Malaysia


  • Benua
  • Ahad, 23 Jul 2023

Kumpulan The 1975 mencetuskan aksi melampau apabila penyanyinya, Matty Healy mencium gitaris kumpulan ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

KUMPULAN band indie-rock British, The 1975 membatalkan konsert di Indonesia selepas Malaysia membatalkan festival kerana aksi biadab dan kecaman kumpulan itu terhadap undang-undang anti-LGBTQ.

Undang-undang LGBTQ Indonesia kurang ketat berbanding undang-undang di negara jiran seperti Malaysia yang mana homoseksualiti adalah jenayah.

Selain itu, beberapa acara dibatalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana tentangan di negara majoriti Islam itu.

Pihak berkuasa Malaysia membatalkan festival muzik Good Vibes di Kuala Lumpur selepas memendekkan acara Jumaat lalu kerana ucapan Matt Healy yang sarat dengan kata-kata kesat dan aksi ciuman dengan pemain bass kumpulan itu, Ross MacDonald.

Kumpulan itu kemudiannya mengumumkan akan membatalkan persembahannya di acara We The Fest di Jakarta serta pertunjukan di Taiwan pada Selasa.

"Dengan rasa kesal, The 1975 mengumumkan pertunjukan di Jakarta dan Taipei tidak lagi berlangsung seperti yang dirancang," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Ahad di laman Instagram We The Fest.

Kerajaan Indonesia dan penganjur festival masih belum mengulas mengenai pembatalan itu.

Konsert berjadual seterusnya kumpulan itu ialah festival Lollapalooza di Amerika Syarikat pada awal Ogos.

Healy memberitahu peminat Malaysia bahawa kumpulan itu berhasrat menarik diri daripada festival pada Jumaat, dengan berkata: "Saya tidak nampak tujuan menjemput The 1975 ke sebuah negara dan kemudian memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks."

Walaupun beberapa undang-undang kecil tempatan mendiskriminasi individu LGBTQ di Indonesia, undang-undang negara ini tidak pernah menjadikan homoseksualiti sebagai kesalahan jenayah.

Bagaimanapun terdapat percubaan untuk meletakkan homoseksual sebagai jenayah oleh ahli politik dan kumpulan konservatif, manakala pasangan gay sering menghadapi diskriminasi di negara majoriti penduduk Islam itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil mengecam penyanyi itu pada Sabtu selepas mengarahkan pembatalan festival itu.

"Jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, terutama yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan," katanya dalam satu ciapan di Twitter peribadi miliknya.

Untuk rekod, bantahan itu bukanlah yang pertama bagi Healy kerana dia juga pernah bertindak mencium peminat lelaki pada konsert 2019 di Emiriah Arab Bersatu, yang juga mempunyai undang-undang anti-LGBTQ yang ketat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram