LULUH hati seorang bapa apabila pencarian selama dua hari mencari anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di sebuah bangunan lama di Jalan Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan bekas bangunan lama Jalan Sembulan.
Katanya, berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring.
“Hasil pemeriksaan awal oleh doktor dari Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan kematian pada pukul 9.07 pagi dan tangan kiri mangsa terdapat kesan luka dipercayai patah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati, bangunan lima tingkat berkenaan sudah lama ditinggalkan dan mangsa dipercayai naik ke tempat simpanan tangki air sebelum terjatuh,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, terdapat kesan tapak kaki di kawasan tangga bangunan selain polis menemui alat ‘portable vapor’ dipercayai milik mangsa.
“Polis percaya tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat atas. Hasil siasatan di tempat kejadian oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah tiada unsur-unsur jenayah dan tidak menemui sebarang senjata.
“Siasatan juga mendapati mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selama dua hari sebelum ahli keluarga bertindak untuk mencari mangsa,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabth (HQE) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram