[VIDEO] Anggota konstabel 'kantoi' raba wanita di kedai serbaneka kena gantung tugas


  • Benua
  • Rabu, 26 Jul 2023

Tangkap layar kejadian anggota konstabel BSF yang membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah kedai serbaneka di Manipur, India.

SEORANG ketua konstabel Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang ditangkap kerana membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah kedai serbaneka di Manipur, India digantung tugas.

Kejadian yang mendatangkan kemarahan warganet itu dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, sebelum ia menjadi tular di media sosial.

"Kejadian berlaku di Imphal pada 20 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran stesen minyak. Tertuduh telah dikenal pasti sebagai Ketua Konstabel Satish Prasad. Dia telah digantung kerja dan satu kes telah didaftarkan terhadapnya," kata seorang pegawai kanan kepada NDTV.

Menurut pegawai itu, BSF telah memulakan siasatan dalaman terhadap tertuduh selepas menerima aduan berkenaan kes itu.

"Dia telah ditahan rapat dan prosiding jabatan telah dimulakan terhadapnya.

"Pertuduhan terhadap Prasad adalah serius dan memandangkan toleransi sifar pasukan terhadap kesalahan sedemikian, hukuman akan dikenakan jika ketua konstabel tersebut didapati bersalah atas perbicaraan," katanya.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai satu lagi kes gangguan seksual, pegawai tersebut berkata, minggu lalu video memaparkan dua wanita diarak berbogel di daerah Thoubal sebelum didakwa diperkosa beramai-ramai menjadi tular di media sosial.

“Polis negeri sedang melakukan segala usaha untuk mengenal pasti baki pelaku dengan menyerbu tempat persembunyian mereka yang disyaki,” kata seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam siasatan.

Sementara itu, Polis Manipur mendakwa beberapa kes berhubung keganasan seksual telah difailkan tetapi tiada perkembangan dalam siasatan kerana mangsa yang terselamat masih belum memberi kerjasama ketika siasatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram