[VIDEO] 'Geram barang selalu hilang', geng mak-mak tekad serbu sarang penagih dadah


  • Benua
  • Isnin, 24 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan wanita nekad menyerbu sebuah rumah yang sering dijadikan lokasi penagih berkumpul sambil menghisap dadah.

BERANG barang di rumah selalu hilang dicuri, sekumpulan wanita nekad menyerbu sebuah rumah yang sering dijadikan lokasi penagih berkumpul sambil menghisap dadah.

Difahamkan kejadian itu berlaku di kawasan Rawasari dekat daerah Alam Barang, Kota Jambi, Indonesia.

Tindakan sekumpulan wanita itu turut tular di media sosial pada Sabtu.

Memetik laporan media antarabangsa TribunKaltim, salah seorang wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai 'S', 38 tahun berkata, mereka bertindak sedemikian kerana geram barang di rumah sering dicuri.

"Kami sudah penat, penduduk di sini bukan sahaja kehilangan barang, malah ada beberapa barangan berharga lain seperti motosikal, telefon bimbit dan komputer riba yang turut dicuri.

"Kes kecurian itu bukan hanya berlaku di kawasan kami tetapi juga kawasan kejiranan yang lain sejak sarang dadah itu dibina," katanya.

Wanita tersebut juga mendakwa pihak polis tidak pernah mengambil tindakan terhadap penagih-penagih dadah berkenaan.

"Sudah lebih setahun pondok dadah tersebut dibina, namun belum ada tindakan daripada pihak berkuasa," jelasnya.

Tambah wanita itu, sewaktu menyerbu rumah tersebut, mereka menemui pelbagai jenis alat untuk menghisap dadah dipercayai syabu dan sejumlah wang tunai bernilai 20 juta Rupiah (RM6,063).

Ketika kejadian, terdapat lebih daripada 20 orang pemuda berada di dalam rumah tersebut.

Jelas wanita itu lagi, kesemua penagih yang berada di dalam rumah tersebut sempat melarikan diri dan hanya seorang sahaja yang berjaya ditangkap.

"Suspek sudah pun ditahan oleh pihak berkuasa bersama sejumlah wang," katanya.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan pihak berkuasa telah pun menyita kawasan berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram