[VIDEO] Wanita Jerman dicekup lepas polis jumpa keratan mayat lelaki senegara dalam peti sejuk di Thailand


  • Benua
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Keratan mayat Mack ditemui dalam sebuah peti sejuk di sebuah lokasi oleh pihak berkuasa tempatan. — Agensi

POLIS menahan seorang wanita berhubung penemuan mayat ahli perniagaan Jerman, Hans-Peter Mack yang dikerat di Thailand baru-baru ini.

Menurut laporan media antarabangsa DW.com, polis menemui keratan mayat Mack, 62 tahun di daerah, Tawee Kudthalaeng, Thailand pada Selasa selepas dia dilaporkan hilang.

Mangsa yang merupakan warga Jerman yang bermastautin di Thailand itu hilang selama beberapa minggu dan pihak berkuasa tempatan mengumpulkan rakaman kamera keselamatan dengan harapan menemuinya masih hidup.

Sebaliknya, mereka menemui mayat mangsa yang dikerat kepada beberapa bahagian di dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Nong Prue.

Sehubungan itu, polis menahan seorang wanita yang dipercayai bertemu dengan Mack sejurus sebelum kehilangannya.

Difahamkan, pertemuan itu berkait rapat dengan dengan penjualan dua hartanah, sebuah vila dan dewan tinju bernilai kira-kira 700 juta baht (RM 926,809.00).

Ketika kejadian, Mack sempat menghantar dua mesej kepada isterinya dan terus menghilangkan diri.

Dalam perkembangan lain, Bangkok Post melaporkan polis menggunakan rakaman televisyen litar tertutup untuk menjejaki mangsa yang hilang.

Hasil daripada rakaman tersebut, pihak berkuasa tempatan mendapati suspek dan seorang lelaki dilihat menghantar sebuah peti sejuk ke sebuah rumah tempat mayat mangsa ditemui.

Hasil siasatan juga mendapati, sejumlah besar wang didapati hilang dari akaun bank mangsa dan tidak menolak Mack mungkin disiksa sebelum dibunuh.

Mack yang juga merupakan bekas majikan firma komunikasi korporat Munich Media AG, kali terakhir dilihat memandu kereta sedan Mercedesnya di bandar pantai Pattaya tempat dia tinggal bersama isterinya.

Kenderaan itu ditemui pada Ahad di tempat letak kereta sebuah kondomonium di Nong Prue. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram