[VIDEO] Juruterbang cedera parah burung besar Kondor Andes rempuh cermin pesawat


  • Benua
  • Selasa, 20 Jun 2023

Tangkap layar video menunjukkan juruterbang daripada Ecuador cedera parah selepas seekor burung besar melanggar cermin depan pesawatnya hingga pecah.

SATU video ngeri tular di laman sosial memaparkan kejadian seekor burung besar melanggar cermin depan sebuah pesawat sehingga pecah dan mengakibatkan kecederaan parah di kepala juruterbang.

Kejadian itu difahamkan berlaku di Ecuador baru-baru ini.

Meskipun kepala juruterbang ketua skuadron, Ariel Valiente berlumuran darah selepas pergelutan tersebut, dia dilaporkan berjaya mendarat dengan selamat.

Juruterbang berkenaan merakam video itu sendiri sambil menunjukkan keadaan mukanya yang berlumuran darah.

Berdasarkan rakaman klip tersebut, dia berusaha sedap upaya untuk mengemudi pesawat dalam keadaan dirinya yang tidak stabil.

Video tersebut juga menunjukkan burung dan kaki haiwan yang besar itu berjuntai di atas juruterbang.

Pihak berkuasa masih belum dapat menentukan ketinggian pesawat dan laluan yang dilaluinya, bagaimanapun burung besar itu dilaporkan mati beberapa minit selepas melanggar cermin pesawat tersebut.

Terdapat spekulasi yang menyatakan bahawa burung berkenaan adalah Kondor Andes yang mempunyai lebar sayap sehingga 10 kaki (tiga meter).

Untuk makluman, burung Kondor Andes ialah burung pemangsa yang terbesar di dunia.

Jika burung itu melebarkan sayapnya, ia boleh mencecah hingga tiga meter dan semasa terbang ia boleh meluncur sejauh 160 kilometer (km) tanpa mengepakkan sayapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram