Polis jerat pencuri, dicekup angkara COD


  • Benua
  • Selasa, 28 Dis 2021

POLIS menunjukkan sebahagian barang curi antaranya televisyen dan gitar elektrik yang dijual suspek di Facebook. — Agensi

DUA orang suspek kes curi yang menjual hasil curian mereka di media sosial akhirnya berjaya diberkas selepas ditahan Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Depok, Indonesia pada Isnin.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Depok, Yogen Heroes Baruno berkata, penahanan kedua-dua suspek masing-masing berumur 33 dan 36 tahun itu dilakukan apabila mereka diperangkap untuk menghantar barang curi menerusi kaedah cash-on-delivery (COD).

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek melakukan kecurian di tiga lokasi berbeza namun barang yang dijual merupakan hasil rompakan di daerah Bojonggede, Wilayah Bogor.

"Mereka mencuri sebuah televisyen, gitar elektrik, barang kemas seperti cincin, rantai dan gelang sebelum menjual barangan tersebut di Facebook.

"Begitupun, pihak polis berjaya mengesan kegiatan mereka sebelum membuat tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan di daerah Cilodong,” katanya seperti dilaporkan IDN Times.

Menurut Yogen, barang tersebut dijual suspek pada harga 1.4 juta rupiah (RM411.54) sedangkan mangsa kes kecurian itu mengalami kerugian mencecah 20 juta rupiah (RM5,883).

"Kini polis sedang menyiasat barangan lain yang dijual suspek terbabit hasil rompakan di dua lokasi berbeza. Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Mereka disiasat mengikut Pasal 363 Kitab Undang-undang Hukum Pidana dan boleh dikenakan hukuman penjara sembilan tahun," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram