[VIDEO] Lelaki Rusia ditelan jerung ketika berenang di perairan pantai Mesir


  • Benua
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Tangkap layar video tular dikongsikan orang ramai yang berada di sekitar pantai berkenaan ketika serangan jerung harimau itu berlaku.

SEORANG lelaki Rusia maut selepas dibaham jerung harimau ketika sedang berenang di sebuah pantai di Mesir yang sedang sesak dengan kehadiran pengunjung pada Khamis, menurut laporan media Rusia.

Video mengenai kejadian itu tular di sosial media menunjukkan serangan ikan pemangsa itu terhadap lelaki terbabit dengan orang ramai menjerit meminta bantuan.

"Ia (jerung) sedang memakan baki badan mangsa sekarang," kata salah seorang saksi kejadian yang merakam insiden berkenaan.

Kementerian Alam Sekitar Mesir menerusi hantaran di Facebook berkata, seekor jerung menjadi punca kematian lelaki itu dalam insiden tersebut yang berlaku berhampiran Hotel Elysees Dream Beach di pusat peranginan terkenal Mesir di Hurghada.

Screenshot 2023-06-09 125956

Serangan jerung harimau terhadap lelaki itu mengejutkan pengunjung yang berada di pantai ketika kejadian. — Agensi

Konsul Jeneral Rusia di Hurghada, Viktor Voropayev, memberitahu agensi berita tempatan TASS bahawa mangsa merupakan warga Rusia berusia 23 tahun dan namanya didedahkan sebagai Vladimir Popov.

Katanya, mangsa bukan seorang pelancong kerana dia telah menetap di Mesir selama beberapa bulan, lapor Daily Beast.

Ketika kejadian, teman wanita Popov dilaporkan berjaya melarikan diri dari serangan tersebut dan keluar dari kawasan air tanpa cedera.

Orang ramai mendakwa mereka cuba membantu Popov namun tidak berjaya.

“Ia berlaku dalam sekelip mata. Pasukan penyelamat bertindak balas dengan cepat. Atas sebab tertentu, saya segera merasakan bahawa ia adalah jerung.

"Saya segera memberi amaran dengan menjerit, 'Jerung, jerung! Selamatkan diri anda!’ Tapi tiada sesiapa yang faham,” kata seorang saksi kepada stesen Russia REN-TV.

Screenshot 2023-06-09 125829

Mangsa, Vladimir Popov. — Agensi

“Ia satu insiden yang mengerikan, mayat lelaki ini ada di sana. Saya gementar. Di depan mata saya, jerung itu memakan lelaki itu,” kata seorang wanita kepada saluran Telegram Baza.

Pihak berkuasa berkata, jerung itu sudah ditangkap dan dipindahkan ke makmal bagi mendapatkan semua maklumat diperlukan untuk mengenal pasti punca serangan itu.

Larangan melakukan aktiviti di kawasan air itu ditetapkan sehingga Ahad.

Serangan jerung harimau jarang berlaku di kawasan pantai Laut Merah, walaupun terdapat dua serangan yang berlaku hanya selang beberapa hari pada tahun lalu di kawasan sama, menyebabkan kematian seorang pelancong Austria dan Romania.

Menurut National Geographic, jerung harimau adalah yang kedua banyak menyerang manusia selepas spesis putih. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram