[VIDEO] 'Cinta ditolak', polis AS tawar ganjaran, buru lelaki hempuk wanita guna 'skateboard'


  • Benua
  • Rabu, 07 Jun 2023

Tangkap layar seorang lelaki bertindak memukul wanita dengan papan selaju di New York, Amerika Syarikat.

SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul wanita dengan papan selaju sambil disaksikan orang awam yang merakamkan kejadian itu di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Video tular itu hangat diperkatakan di laman Twitter dengan si pelaku dikenali sebagai Skeeter Millz didakwa berpelakuan seperti itu selepas cintanya ditolak.

Namun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan rata-rata warganet melahirkan kebimbangan terhadap wanita terbabit.

Susulan insiden itu, Polis New York (NYDP) dilaporkan sedang memburu lelaki berkenaan.

Dalam video berdurasi 15 saat itu, si pelaku terlebih dahulu sedang berbual bersama wanita terbabit sebelum bertindak memukul muka mangsa sehingga terjatuh sambil ketawa ke arah kamera.

Rakaman yang dikongsikan di laman Twitter itu tidak menyatakan tarikh sebenar insiden tersebut berlaku namun maklumat yang diberikan NYDP menjelaskan kejadian itu terjadi di Presint 28 Harlem, New York.

Setakat ini, identiti mangsa masih lagi belum dikenal pasti dan pihak polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat segera ke balai berhampiran untuk membantu siasatan.

Usaha untuk menjejaki suspek sedang dilakukan dan polis juga turut menawarkan sebanyak AS$2,500 (RM11,518) buat sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan serangan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram