[VIDEO] Kantoi curi barang dalam garaj, perompak bertopeng makan buku lima tuan rumah


  • Benua
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar kejadian seorang penduduk lelaki menumbuk suspek yang dipercayai merompak garajnya di Montreal, Kanada baru-baru ini.

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki bertindak berani melawan dua individu bertopeng yang dipercayai cuba merompak garaj di kediamannya di Montreal, Kanada.

Rakaman kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada Rabu minggu lepas itu dimuat naik di laman Twitter pada Isnin.

Dua orang suspek berpakaian serba hitam dipercayai memasuki garaj melalui pintu dan mengeluarkan beg plastik putih dari poket mereka dan memungut barang-barang di dalam garaj berkenaan.

Setelah menyedari tentang pencerobohan itu, lelaki tersebut bergegas menghampiri suspek dan menumbuk mereka berkali-kali hingga terduduk, sambil berteriak meminta jiran-jiran terdekatnya segera menghubungi pihak polis.

"Call 911, call 911 right now!" jeritnya.

Tidak lama kemudian, kedua-dua suspek berhasil melarikan diri, namun lelaki berkenaan berjaya mengejar dan mengheret salah seorang daripada mereka untuk masuk semula ke dalam garaj.

Lelaki itu dengan bijak mengunci pintu garaj bagi mengelakkan seorang lagi pencuri kembali dan melawannya.

Walaupun diserang berkali-kali, lelaki tersebut dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Perkhidmatan Polis Montreal (SPVM) difahamkan sedang memburu suspek yang terbabit dalam kes rompakan itu bagi memastikan keselamatan masyarakat di kawasan sekitar terjamin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram