KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) menafikan kemungkinan berkenaan tanda-tanda kehadiran makhluk asing atau sebarang aktiviti dari luar angkasa selepas negara itu menembak jatuh beberapa objek tidak dikenali (UFO) di ruang udara negara itu pada bulan ini.
White House mengeluarkan kenyataan tersebut sehari selepas seorang jeneral Tentera Udara AS tidak menolak kemungkinan objek berbentuk segi lapan di atas Tasik Huron di sempadan AS-Kanada yang ditembak jatuh jet pejuang F-16 AS ada kaitan dengan makhluk asing atau sebarang penjelasan lain.
Menurut Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre, kerajaan AS mengambil maklum persoalan dan kebimbangan rakyat AS berhubung perkara tersebut.
"...tetapi sekali lagi, tiada tanda makhluk asing atau aktiviti luar angkasa dengan penembakan jatuh baru-baru ini," katanya.
Menerusi taklimat Pentagon pada Ahad, Jeneral Glen VanHerck berkata, perkembangan terbaharu itu adalah penembakan ketiga membabitkan objek tidak dikenal pasti selepas pasukan pertahanan udara Amerika Utara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan tindakan negara itu menembak jatuh belon altitud tinggi canggih milik China pada 4 Februari lalu di pantai Carolina Selatan.
Dalam kenyataanya, Glen berkata, beliau menyerahkan kepada agensi perisikan untuk menyiasat mengenai kemungkinan wujudnya penjelasan lain berhubung perkembangan tersebut.
Kerajaan AS sebelum ini mengatakan bahawa kehadiran objek tersebut di ruang udara negara itu digunakan Beijing untuk pengintipan.
Asal-usul objek tersebut telah menarik minat tinggi rakyat negara tersebut sehingga menimbulkan spekulasi masyarakat di AS.
Menurut tinjauan Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) 2020, separuh daripada rakyat Amerika percaya UFO wujud dan telah melawat bumi.
Beberapa pegawai White House pada hari Isnin menolak kemungkinan objek itu datang daripada makhluk luar angkasa.
"Saya tidak fikir rakyat Amerika perlu bimbang tentang makhluk asing berkenaan dengan alatan ini," kata jurucakap White House, John Kirby semasa taklimat dengan wartawan pada Isnin.
Insiden itu berlaku ketika Pentagon memulakan usaha baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyiasat penampakan UFO dengan ia dijenamakan semula dalam bahasa rasmi kerajaan sebagai fenomena udara tidak dikenalpasti atau unidentified aerial phenomena (UAP).
Usaha kerajaan menyiasat objek luar biasa dan tidak dikenali sama ada ia berada di angkasa, langit atau di bawah air menghasilkan ratusan laporan yang didokumenkan sebagai sedang disiasat, menurut pemimpin kanan tentera.
Laporan kerajaan AS pada bulan Jun 2021 tidak menolak kemungkinan kewujudan entiti lain di angkasa lepas berdasarkan laporan penampakan 144 UAP.
Laporan itu menandakan titik perubahan selepas tentera menghabiskan beberapa dekad untuk menutup jejak kajian mereka terhadap misteri objek terbang tidak dikenali dan 'piring terbang' sejak tahun 1940-an. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram