[VIDEO] Sanggup bangun pagi buta, pelajar buang rasa malu jual kuih depan kawan, guru di sekolah


  • Benua
  • Rabu, 31 Mei 2023

Tangkap layar video di TikTok menunjukkan Derlin sedang menyiapkan kuih jualannya sebelum dibawa ke sekolah di Indonesia.

KISAH seorang pelajar sekolah menengah yang sanggup bangun seawal pukul 1 pagi untuk menyiapkan kuih jualannya menjadi tumpuan warganet Indonesia baru-baru ini.

Pelajar bernama Derlin itu kerap berkongsi video mengenai rutin hariannya menerusi laman TikTok @wahyu.d.i.w.

Berdasarkan perkongsian tersebut, di saat kebanyakan anak seusianya masih lena dibuai mimpi, Derlin sudah bangun untuk membuat pelbagai jenis kuih yang akan dijual kepada rakan-rakan dan guru di sekolah.

Katanya, dia tidak malu untuk menjual kuih di sekolahnya.

"Ya, dah pukul 1 (pagi), kalau tak (bangun) takut oversleep, lebih-lebih lagi bila buat donut dan roti, kena tunggu (doh) naik dulu,” ujar Derlin.

Dia mengakui, adakalanya dia tidak dapat lari daripada tertidur di dalam kelas kerana terlalu penat.

“Saya pernah tertidur semasa pelajaran Matematik, apabila bangun, muka saya penuh dengan penanda pen guru,” katanya sambil ketawa.

Walaupun melalui kehidupan yang agak sukar, Derlin tetap ceria dan tidak pernah mengeluh.

Malah, dia lebih suka menunjukkan dirinya bekerja keras pada usia yang sangat muda.

Derlin turut memberitahu, keuntungan daripada jualan tersebut akan disimpan dan digunakan untuk membeli makanan ringan di sekolahnya, selain membeli beras dan keperluan harian yang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram