[VIDEO] Penjual mi di Vietnam dipenjara kerana parodi Salt Bae


  • Benua
  • Ahad, 28 Mei 2023

Tangkap layar menunjukkan Tuan Lam melakukan aksi parodi Salt Bae pada tahun lalu. — Agensi

SEORANG penjual mi di Vietnam yang memparodikan salah seorang menteri paling berkuasa di negara itu, dipenjarakan selama lima tahun setengah kerana kesalahan melakukan propaganda anti-negara.

Bui Tuan Lam menjadi popular apabila dia menyiarkan video pada 2021 meniru gaya hidangan di restoran mewah Salt Bae berpangkalan di London.

Seorang menteri negara berkenaan sebelum itu dirakam menikmati hidangan stik yang bertutup daun emas dalam video Salt Bae dan ia mencetuskan skandal di negara tersebut.

Kerajaan Vietnam sangat tidak bertoleransi terhadap perbezaan pendapat.

Perbicaraan dan hukuman ke atas lelaki berusia 39 tahun itu di mahkamah Danang, Vietnam hanya mengambil masa sehari.

Peguamnya mengesahkan kepada BBC, Tuan Lam mesti menjalani empat tahun di bawah pemantauan selepas dibebaskan.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 12.12.17 (1)

Tuan Lam merupakan seorang aktivis politik selama hampir 10 tahun sebelum menjual mi. — Agensi

Dalam videonya, Tuan Lam menabur bawang hijau di atas mi supnya sebagai meniru chef selebriti Turki atau nama sebenarnya Nusret Gökçe yang terkenal dengan gaya menabur garam pada stik.

Beberapa hari sebelum itu, internet di negara tersebut kecoh selepas tersebar rakaman memaparkan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam menikmati hidangan stik bernilai AS$2,000 di restoran terkenal berkenaan.

Tindakan pegawai tinggi di negara komunis itu dilihat tidak begitu sesuai selepas Menteri itu sebelumnya baru sahaja melawat kubur tokoh komunis, Karl Marx di London.

Tuan Lam ditahan sejak September lalu.

Sebelum itu, Tuan Lam merupakan seorang aktivis politik selama hampir 10 tahun, langkah yang menyebabkannya kehilangan pekerjaan di Ho Chi Minh City sehingga memaksanya perlu menjual mi di Danang.

Dengan pasportnya dirampas, dia tidak dapat meninggalkan Vietnam sejak 2014.

Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa mendakwanya.

Dakwaan itu menuduhnya menyiarkan 19 video di Facebook dan 25 di YouTube yang "menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara".

Walaupun parodi Salt Bae yang terkenal tidak disebut dalam tuduhan dibuat, perkembangan itu menyebabkan kerajaan Vietnam secara meluas dianggap sebagai punca penahanannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Salt Bae, penjara, parodi, Vietnam, penjual mi