
POLIS Johor membuka kertas siasatan berhubung penganjuran pesta seks bebas yang tular menerusi poster mempromosikan kegiatan tersebut di sosial media bertajuk "Gang Bang JB Party" sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penganjuran acara sedemikian adalah menyalahi undang-undang.
Katanya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 292(e) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Bagi kesalahan penyebaran melalui media-media sosial, pihak polis akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh selama satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. — Bernama
Dalam pada itu, Kamarul turut memberi amaran keras kepada pihak yang menganjurkan pesta seks bebas itu agar acara berkenaan tidak diteruskan dan dibatalkan.
Katanya, pihak polis juga akan membuat pemantauan berterusan terhadap penganjuran acara-acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Menerusi poster tular itu, acara terbabit dijadual berlangsung pada 20 Jun ini bermula pukul 4 petang sehingga 9 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram