[VIDEO] Hampir pengsan menapak 8km sehari ke sekolah, pelajar akhirnya terima bantuan basikal elektrik


  • Benua
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Tangkap layar video menunjukkan Vicky terduduk di tepi jalan semasa dalam perjalanan dari sekolah ke rumahnya baru-baru ini.

PENDERITAAN seorang pelajar Indonesia yang terpaksa berjalan kaki sejauh 8 kilometer (km) untuk ke sekolah setiap hari kini telah berakhir.

Video pelajar sekolah menengah bernama Viky, yang tular baru-baru ini mendapat perhatian banyak pihak termasuk Timbalan Datuk Bandar Tangerang Selatan, Pilar Saga Ichsan.

Pilar berkesempatan melawat rumah Viky dan menghadiahkannya sebuah basikal beserta topi keledar.

Ujar Pilar, pejabat pendidikan bandar itu turut menawarkan dermasiswa kepada remaja berusia 16 tahun berkenaan agar dia dapat menamatkan persekolahan dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Video asal yang dikongsikan di aplikasi TikTok menunjukkan Vicky dalam keadaan pening terduduk di tepi jalan, namun penduduk setempat bermurah hati memberinya minuman dan kemudian membawanya ke kedai makan berhampiran.

Dia yang berpakaian seragam sekolah memberitahu bahawa dia berjalan dari sekolah di Bojongsari, Jawa Barat menuju ke rumahnya di Ciputat.

Perjalanan sejauh 8km itu mengambil masa lebih 1 jam 30 minit dengan berjalan kaki.

Dalam video berikutnya, Viky berkata, dia sering berjalan kaki supaya dapat menyimpan wang 10,000 rupiah (RM3) yang diberikan ibunya setiap hari untuk tambang bas dan makanan di sekolah.

Bapanya menganggur dan semakin pulih daripada strok yang dialaminya baru-baru ini, manakala ibunya seorang suri rumah.

Viky anak sulung daripada empat beradik, terpaksa berpindah dari sekolah swasta berhampiran rumahnya ke sekolah sekarang kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran pengajian dan peranti yang diperlukan untuk kelas teknikal, seperti telefon pintar.

Dia kadang-kadang bekerja sebagai penjaga parkir selepas tamat sekolah, upah yang diperoleh iaitu sekitar 15,000 rupiah sehari diberikan kepada ibunya.

Nasib Viky mendapat perhatian meluas di TikTok, dengan video pertama ditonton lebih daripada 12 juta kali pada Jumaat, sembilan hari selepas ia disiarkan.

Video lain juga menunjukkan remaja itu menerima lebih banyak hadiah seperti basikal elektrik dan telefon pintar daripada netizen. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram