SEORANG wanita tua berusia 70 tahun mengejutkan masyarakat di Odisha, India selepas dia dilihat berjalan dengan kaki ayam sejauh beberapa kilometer hanya untuk mengeluarkan wang pencennya di sebuah bank.
Berdasarkan rakaman video tular di sosial media, wanita yang sudah berada dalam keadaan uzur itu dilihat terpaksa berjalan dengan sokongan kerusi plastik.
Insiden itu dilaporkan berlaku di daerah Nabrangpur Odisha pada 17 April lalu.
Wanita tua bernama Surya Harijan itu dilaporkan berada dalam situasi keluarga sangat miskin apabila anak sulungnya difahamkan bekerja sebagai buruh di negeri lain.
Dia difahamkan tinggal bersama anak bongsunya di pondok dan tidak memiliki sebarang tanah manakala pendapatan harian hanya diperoleh daripada hasil memberi makan kepada haiwan ternakan milik penduduk kampung.
Hasrat wanita berkenaan untuk mendapatkan wang pencennya di bank tersebut bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia diberitahu cap ibu jarinya tidak sepadan dengan rekod.
Memberikan maklum balas berhubung insiden tersebut, pengurus State Bank of India (SBI) mendakwa wanita itu menghadapi masalah mengeluarkan wang kerana jarinya mengalami kecederaan dengan pihak bank sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.
"Jarinya patah, jadi dia menghadapi masalah mengeluarkan wang. Dia telah diberi ₹ 3,000 (RM162) secara manual daripada bank.
"Kami akan menyelesaikan masalah itu tidak lama lagi," kata pengurus SBI cawangan Jharigaon.
#WATCH | A senior citizen, Surya Harijan walks many kilometers barefoot with the support of a broken chair to reach a bank to collect her pension in Odisha's Jharigaon
SBI manager Jharigaon branch says, "Her fingers are broken, so she is facing trouble withdrawing money. We'll... pic.twitter.com/Hf9exSd0F0
— ANI (@ANI) April 20, 2023
State Bank of India yang turut mengeluarkan kenyataan berkata, bank tersebut sudah segera membayar jumlah pencen yang ingin diperoleh itu dengan mendebit jumlah tersebut secara manual daripada akaun pesara.
Menurut bank berkenaan, wanita itu juga telah diyakinkan pengurus cawangan tentang penghantaran pencen di depan pintu rumahnya.
SBI juga telah menyumbangkan kerusi roda kepada wanita itu untuk 'memudahkan pergerakannya'.
Bank tersebut menambah, protokol diperlukan bagi menangani kes sedemikian sudah pun disediakan dengan cawangannya turut dimaklumkan mengenai mengenai garis panduan perlu dilaksanakan.
Dalam pada itu, ketua kampung di tempat wanita tersebut tinggal turut memberitahu bahawa perancangan mula dilaksanakan bagi menyenaraikan individu lain yang turut berhadapan isu sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram