
SEORANG bekas ahli politik India bersama abangnya yang sudah disabitkan dengan jenayah culik ditembak mati ketika bersiaran langsung di TV.
Atiq Ahmed, yang diiringi polis sedang bercakap kepada pemberita apabila pistol diacukan mendekati kepalanya di Prayagraj yang juga dikenali sebagai Allahabad, India.
Selepas tembakan dilepaskan pada malam Sabtu itu, tiga lelaki yang menyamar sebagai wartawan segera menyerah diri dan ditahan.
Anak lelaki Ahmed yang masih remaja ditembak mati oleh polis beberapa hari sebelumnya.
Sejak 20 tahun lalu, Atiq telah didakwa dengan puluhan kes jenayah termasuk penculikan, pembunuhan dan peras ugut.
Mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepadanya dan dua individu lain pada Mac lalu dalam kes penculikan.
Ahmed sebelum ini mendakwa terdapat ancaman terhadap nyawanya sendiri daripada polis.
Video itu menunjukkan Ahmed dan abangnya, Ashraf, kedua-duanya dalam keadaan bergari ketika bercakap kepada wartawan dalam perjalanan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital beberapa saat sebelum mereka berdua ditembak.
Dalam rakaman yang dikongsi secara meluas di media sosial dan saluran TV, Ahmed ditanya sama ada dia akan menghadiri pengebumian anaknya.
Kata-kata terakhirnya kepada kamera ialah: "Mereka tidak membawa kami, jadi kami tidak pergi."
Menurut polis, ketiga-tiga penyerang yang disyaki telah tiba di lokasi dengan menaiki motosikal.
Seorang anggota polis dan wartawan turut cedera di tempat kejadian.
Susulan insiden malam Sabtu, Ketua Menteri Yogi Adityanath mengarahkan siasatan kehakiman ke atas pembunuhan itu dan melarang perhimpunan besar di daerah negeri Uttar Pradesh, India untuk memastikan keamanan.
Pemerhati menimbulkan persoalan bagaimana seorang lelaki boleh dibunuh di hadapan media dan polis.
Wartawan BBC Hindi, Anant Zanane melaporkan dari Prayagraj bahawa bandar itu berada dalam keadaan seperti perintah berkurung.
Atiq merupakan individu yang lama berkhidmat dalam politik dan dunia jenayah dengan dia pertama kali dituduh dalam kes pembunuhan pada 1979.
Dalam tempoh 10 tahun berikutnya, dia muncul sebagai seorang yang mempunyai pengaruh kuat di bahagian barat bandar Allahabad.
Atiq memenangi pilihan raya pertamanya sebagai calon bebas dan menjadi wakil rakyat peringkat negeri pada 1989.
Dia kemudian memenangi kerusi itu selama dua penggal berturut-turut dan kemenangan keempatnya sebagai ahli parlimen dari parti Samajwadi (SP) wilayah.
Pada tahun 2004, Atiq memenangi kerusi dalam pilihan raya persekutuan sebagai calon SP dan menjadi ahli Parlimen.
Sementara itu, kes terus difailkan terhadapnya di Allahabad dan bahagian lain di negeri ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram