POLIS Banjarnegara di Jawa Tengah, Indonesia menahan seorang bomoh yang menawarkan khidmat pengganda duit selepas lelaki itu didakwa membunuh 12 orang pelanggannya.
Sejak minggu lalu, polis telah menggali mayat mangsa bomoh tersebut, Slamet Tohari, 45 tahun yang ditanam di dalam hutan di luar kediamannya di Balun, daerah Wanayasa.
Penahanan itu dibuat susulan laporan keluarga mangsa lelaki terakhirnya, iaitu Paryanto, 53, yang berasal dari Sukabumi di Jawa Barat.
Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto berkata, Paryanto datang bagi mendapatkan khidmat Slamet pada Julai lalu dan memberinya sejumlah Rp 70 juta (RM20,631).
“Suspek mendakwa sebagai bomoh mampu melipat gandakan wang mangsa Rp 70 juta (RM20,631) menjadi Rp 5 bilion (RM1.4 juta)," kata Hendri ketika sidang media pada Isnin.
Setelah berbulan-bulan menunggu tanpa hasil, Paryanto telah meminta Slamet memulangkan wangnya dan bomoh berkenaan bersetuju mengadakan pertemuan di sebuah penginapan di Banjarnegara pada 23 Mac lalu.
Sejurus selepas bertemu dengan Slamet, mangsa menghantar mesej kepada keluarganya dan memberikan alamat Slamet.
Dalam pesanan tersebut, Paryanto memberitahu keluarganya supaya datang ke rumah tersebut bersama polis sekiranya tidak mendengar khabar daripadanya selepas tiga hari.
Pada 27 Mac lalu, keluarga mangsa membuat laporan kepada polis tempatan apabila mendapati Paryanto sudah meninggal dunia dengan mayatnya dikebumikan berhampiran laluan menghala ke hutan Wanayasa.
Hendri berkata, Slamet mengaku membunuh Paryanto dan mangsa lain dengan memberi mereka minuman yang yang dicemari kalium sianida.
Slamet ketika ditahan polis. — Agensi
Selepas disoal siasat, polis menggali 11 lagi mayat yang dipercayai mangsa Slamet di sekitar kawasan itu, terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita, dengan lima daripada plot perkuburan tersebut masing-masing mempunyai mayat seorang lelaki dan seorang wanita.
Slamet memberitahu polis, mangsa terdiri daripada mereka yang datang dari Jakarta, Palembang di Sumatera Selatan, dan Tasikmalaya di Jawa Barat.
Hendri berkata, bomoh tersebut terlebih dahulu mengiklankan perkhidmatannya di Facebook dan mendakwa mampu melipat gandakan wang sejak setahun lalu dengan bantuan seorang lagi individu dikenali sebagai DS yang turut dinamakan sebagai suspek.
"Paryanto menemui iklan itu dan berminat untuk bertemu Slamet," kata polis.
Slamet menghadapi pertuduhan melakukan pembunuhan terancang yang membawa maksimum hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Mayat 11 lagi mangsa yang ditemui kini dalam pemeriksaan Unit Pengecaman Mangsa Bencana Jawa Tengah.
“Sesiapa yang kehilangan saudara mara hendaklah membuat laporan kepada Polis Banjarnegara atau pejabat polis berhampiran mereka. Kami akan membantu proses pengecaman,” ujar jurucakap Polis Jawa Tengah, Iqbal Alqudussy.
Pada Januari lalu, Polis Jakarta menahan tiga lelaki disyaki membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang selepas menjanjikan kebolehan atau kekayaan ghaib mereka.
Wowon Erawan, Solihin dan M. Dede Solihidin didapati membunuh mangsa mereka, termasuk dengan cara meracun.
Polis berkata, ketiga-tiga suspek akan memujuk mangsa menyerahkan wang tunai atau barangan sebelum membunuh mereka.
Salah satu pembunuhan paling terkenal oleh bomoh ialah jenayah Ahmad Suradji, yang dikenali orang ramai sebagai Dukun AS, yang dijatuhi hukuman mati pada 1998 kerana membunuh 42 wanita di Lubuk Pakam, Sumatera Utara.
Suradji dihukum bunuh pada 2008. Eksploitasi jenayah Suradji telah menjadi terkenal kerana kekejamannya.
Dia yang terkenal kerana kekejamannya itu memberitahu polis bahawa dia menanam mangsanya sehingga pinggang sebelum kemudian mencekik dan kemudiannya menanam semula mayat terbabit dengan kepala mereka menghala ke arah rumahnya.
Suradji mengaku berbuat demikian dalam usaha untuk mendapatkan kuasa ajaib.
Menurut bomoh tersebut, dia memulakan pembunuhan itu selepas dapat melihat mendiang bapanya dalam mimpi, yang mengarahkannya untuk membunuh 70 wanita sebagai sebahagian daripada upacara ilmu hitam.
Polis menemui mayat mangsa ditanam di ladang tebu berhampiran rumahnya.
Isteri pertamanya, Tumini, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik perempuan yang semuanya berkahwin dengan Suradji turut dijatuhi hukuman mati kerana membantu pembunuhan itu namun ia kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram