Gopal Sri Ram meninggal dunia pada usia 79 tahun


  • Massa
  • Ahad, 29 Jan 2023

Gopal Sri Ram meninggal dunia pada usia 79 tahun.

PEGUAM veteran, Datuk Seri Gopal Sri Ram, 79 tahun meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada Ahad.

Mendiang yang juga merupakan Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan pada 18 Januari lalu bagi menerima rawatan jangkitan paru-paru.

Beliau juga merupakan pendakwa utama bagi kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Menurut sumber yang dihubungi media menerusi aplikasi WhatsApp, beliau mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang berusia 79 tahun itu berada di hospital.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Pada 23 November tahun lalu, ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pemeriksaan utama membabitkan saksi utama kes akan dikendalikan oleh Sri Ram.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan Sri Ram sedang bercuti tiga hari kerana demam.

Sejurus itu, Sri Ram kembali bertugas seperti biasa dan hadir di mahkamah untuk prosiding-prosiding kes di mahkamah lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram