SEORANG pelancong di Thailand yang mencari keseronokan melalui aktiviti ekstrem berdepan detik mengerikan selepas tali terjun lelabah atau bungee yang dipakainya terputus ketika terjunan.
Mike yang berasal dari Hong Kong melakukan terjunan dari atas platform setinggi 10 tingkat atau kira-kira 30 meter(m) sebelum talinya putus, menyebabkan dia tercampak ke dalam tasik di sebuah destinasi pelancongan popular di Pattaya.
Kesan daripada insiden itu, media Hong Kong, hk01 melaporkan, Mike telah pengsan seketika di dalam air, sebelum kembali sedar dan berenang keluar dari tasik dengan bantuan pekerja di tempat tersebut.
Kejadian yang berlaku di Taman Safari dan Pengembaraan Changthai Thappraya itu dilaporkan berlaku pada bulan lalu.
Mike menunjukkan kecederaan yang dialaminya di bahagian bawah ketiak. — Agensi
Mike memberitahu hk01, “Saya mengalami kesakitan sangat kuat sehingga saya berasa pening. Ketika tangan saya ditarik, bahagian paling teruk dirasai tercedera adalah di bahagian bawah ketiak.
Dalam rakaman video kejadian itu, ia memaparkan Mike terjun dan berada di udara kira-kira enam saat dan sedang menghampiri permukaan tasik apabila tali bungee itu tiba-tiba terputus.
Ekoran daripada itu, bahagian kepalanya dilihat jatuh terlebih dahulu mencecah permukaan air dari ketinggian kira-kira 5m dengan percikan besar.
Melalui gambar dikongsikan, antara kecederaan dialami adalah kesan lebam pada anggota badan dengan kulit di sekitar kawasan ketiaknya kelihatan mengelupas.
Mike menunjukkan kecederaan yang dialaminya di bahagian kaki akibat insiden tersebut. — Agensi
Mike memberitahu hk01, dia juga mengalami jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke hospital selama tiga hari selepas kembali ke Hong Kong.
Dilaporkan, bil perubatan perlu ditanggung mencecah kira-kira HK$50,000 atau lebih RM28,000 dengan jumlah itu dilindungi oleh insurans perjalanan.
Mike berkata, pusat pelancongan itu hanya menawarkan HK$2,300 (sekitar RM1,300) sebagai ganti rugi bagi perubatan dan bayaran balik perkhidmatan lompatan bungee itu.
Menurutnya, satu emel turut dihantar kepada pusat tersebut dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand untuk membuat aduan, namun belum menerima jawapan.
Menerusi emel tersebut, dia menulis, "Saya dan rakan-rakan saya mengalami kerugian akibat kemalangan itu, termasuk perubahan pada rancangan perjalanan kami, kecederaan saya dan kehilangan pendapatan. Jika kemalangan itu lebih teruk, saya mungkin kehilangan nyawa saya."
Pada November lalu, seorang wanita yang melawat Columbia maut selepas terlupa untuk mengikat tali bungee tersebut sebelum melakukan terjunan.
Yecenia Morales Gómez, 25, didakwa mendengar seorang pengajar memberitahu pasangannya untuk melompat dan percaya arahan itu untuknya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram