Polis kenal pasti individu terjun dari Menara PNB 118


  • 112
  • Ahad, 01 Mei 2022

Seorang warga asing kini diburu polis selepas melakukan terjunan dari Menara PNB118 menggunakan payung terjun di Jalan Stadium di ibu negara pada 24 April lalu.

SEORANG warga asing kini diburu polis selepas melakukan terjunan dari Menara Merdeka 118 (Menara PNB118) menggunakan payung terjun di Jalan Stadium di ibu negara pada 24 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, laporan polis dibuat selepas dua hari kejadian berkenaan.

"Kejadian pada 24 April 2022, laporan polis dibuat pada 26 April 2022. Suspek warga asing dan motif masih dalam siasatan," jelasnya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah Noor Dellhan, kes disiasat di bawah Seksyen 477 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan sedang dibuat dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai kaedah lain," jelasnya lagi.

Menara Merdeka 118 yang berketinggian 678.9 meter merupakan bangunan tertinggi di Malaysia serta tertinggi di Asia Tenggara dan mencatat rekod kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Bukan hanya sekadar projek ikonik bertaraf dunia, sebaliknya, menara berkenaan turut melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan Malaysia serta memiliki sentuhan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 2014, dengan pembangunan seluas 40 ekar, yang mana 50 peratus keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram