[VIDEO] Macam ‘Final Destination’, pengunjung taman tema seriau tali permainan 'slingshot' tiba-tiba putus langgar tiang


  • Benua
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Tangkap layar video detik-detik kejadian permainan ‘slingshot’ terputus sewaktu sedang beroperasi di Hyde Park, London baru-baru ini.

BAGAIKAN filem Final Destination, pengunjung di sebuah taman tema di Hyde Park, London, United Kingdom berdepan detik cemas apabila tali permainan ‘slingshot’ tiba-tiba terputus sewaktu sedang beroperasi baru-baru ini.

Menurut Daily Mail, pod tempat duduk permainan di taman tema popular sempena Krismas di London itu difahamkan telah melanggar penghadang sokongan dan menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada di dalamnya terperangkap.

Permainan itu kebiasaannya menggunakan kord elastik yang digerakkan untuk melancarkan pod terus ke udara seolah-olah didorong oleh lastik.

Satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan pelancaran permainan itu menjadi bahaya selepas terdapat isu teknikal yang menyebabkan salah satu tali elastiknya tercabut secara tiba-tiba.

Salah satu tali elastiknya telah gagal berfungsi dan menyebabkan pelancaran pod tersebut terpelanting melanggar tiang sokongan permainan tersebut.

Insiden tersebut bukanlah yang pertama kali merosakkan reputasi taman tarikan popular musim sejuk berkenaan.

Sebelum ini, satu kejadian tikaman pernah berlaku di luar pintu masuk taman tersebut pada awal mingggu lalu.

Satu lagi video rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kakitangan di taman teman tersebut sedang menghalang akses kepada permainan berkenaan sejurus selepas insiden itu berlaku.

Berdasarkan rakaman itu juga, dilihat jentera bomba dari Briged Bomba London telah sampai ke lokasi kejadian.

Pasukan Bomba London telah dihubungi oleh Daily Mail untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut.

“Kami mengesahkan bahawa isu teknikal yang melibatkan bungee telah berlaku pada petang Rabu. Kedua-dua pengunjung selamat dibawa keluar dari permainan itu dan tidak mengalami kecederaan selepas diperiksa oleh ahli medik kami di lokasi,” kata jurucakap Hyde Park.

Menurut jurucakap itu lagi, keselamatan pengunjung adalah keutamaan bagi mereka dan permainan itu akan ditutup sementara siasatan sedang dijalankan.

“Semua permainan kami telah menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat oleh kakitangan kami yang berpengalaman dan terlatih.

“Kami juga menyediakan latihan tetap untuk semua kakitangan bagi memastikan pengunjung kami dapat menikmati pengalaman yang selamat dan menyeronokkan,” kata jurucakap itu lagi.

Jurucakap taman itu turut memberitahu bahawa semua permainan tarikan lain di taman tema tersebut masih beroperasi seperti biasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram