[VIDEO] Macam nak gugur jantung, enjin motor tiba-tiba mati tengah landasan masa kereta api nak lalu


  • Benua
  • Rabu, 22 Mac 2023

Motosikal beroda tiga itu tersangkut di tengah-tengah landasan ketika hendak cuba melintas di sebuah persimpangan landasan kereta api di Jati, Jakarta.

TULAR satu video di sosial media pada Isnin yang merakam detik cemas sekumpulan masyarakat membantu sebuah motosikal beroda tiga melintas keluar dari landasan di Jati, Jakarta Indonesia ketika kereta api semakin menghampiri persimpangan tersebut.

Menerusi video berkenaan, kenderaan yang mengangkut kotak air mineral itu pada awalnya tersangkut di tengah-tengah landasan ketika hendak cuba melintas.

Situasi menjadi lebih mendebarkan apabila cubaan penunggang untuk memaksa kenderaan tersebut bergerak bersama dua orang individu lain juga gagal.

Malah, situasi itu juga didapati mengakibatkan motosikal berkenaan tidak dapat dihidupkan dengan siren mula kedengaran kuat apabila kereta api semakin menghampiri.

Dia kemudiannya turun dari motosikal dan dengan bersama beberapa bantuan tambahan daripada orang ramai yang berada di sekeliling untuk menolak kenderaan itu melintas keluar dari landasan.

WhatsApp Image 2023-03-22 at 8.46.13 AM

Dibantu dengan beberapa bantuan tambahan daripada orang ramai di sekitar, motosikal itu akhirnya berjaya dialihkan dari persimpangan di landasan berkenaan.

“Saat mencemaskan apabila kenderaan rosak di persimpangan kereta api Pondok Jati,” tulis hantaran pada video tular berkenaan.

Mengesahkan mengenai kejadian itu ialah pengendali operasi pengangkutan awam berkenaan iaitu PT Kereta Api Indonesia.

Ketua Perhubungan Awamnya di Jakarta, Eva Chairunisa memaklumkan insiden berkenaan berlaku di tengah-tengah lintasan Pondok Jati yang berada di antara Stesen Pasar Senen dan Stesen Jatinegara.

"PT Kereta Api Jakarta berharap kejadian ini tidak lagi berlaku kerana ia amat berisiko terhadap keselamatan,” kata beliau.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Isnin sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan apabila kenderaan tersebut rosak semasa hendak melintasi landasan berkenaan.

Pada masa sama katanya, kereta api jarak jauh dari Stesen Jatinegara sedang dalam perjalanan untuk melalui persimpangan itu untuk menuju ke Stesen Pasar Senen.

“Apabila siren mula berbunyi dan palang ditutup, penduduk setempat berjaya mengalihkan kenderaan itu.

"Pemindahan berjaya sebelum kereta api menghampiri," kata Eva yang turut memaklumkan operasi kereta api di kawasan tersebut masih beroperasi seperti biasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram