[VIDEO] Lelaki nyaris digilis kereta api sempat diselamatkan askar


  • Benua
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Tangkap layar video mangsa tergelincir lalu hampir jatuh terperosok ke bawah landasan kereta api.

SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila dirinya nyaris terperosok ke bawah kereta api yang sedang bergerak ketika cuba untuk menaiki kenderaan tersebut.

Insiden yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan detik cemas tersebut berlaku di sebuah stesen kereta api di timur India, lapor BBC pada Khamis.

Ketika kejadian, mangsa lelaki tersebut sedang melakukan cubaan untuk menaiki kereta api itu semasa ia masih lagi bergerak namun tindakan mangsa menyebabkannya tergelincir lalu hampir jatuh terperosok ke bawah landasan.

Berdasarkan rakaman itu lagi, seorang askar yang berada di tempat kejadian bertindak pantas dengan menyelamatkan mangsa terbabit dengan cara menariknya keluar dari landasan kereta api tersebut.

Askar itu difahamkan merupakan anggota dari Pasukan Perlindungan Kereta Api India dan dipercayai sedang bekerja di stesen negeri Bihar ketika kejadian itu berlaku.

Beberapa orang penumpang yang berada di tempat kejadian juga dilihat cuba membantu mangsa yang malang tersebut.

Sehingga kini, masih tiada lagi laporan rasmi berkaitan kejadiaan tersebut dan keadaan mangsa juga masih tidak diketahui sama ada mengalami sebarang kecederaan ataupun tidak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram