MISTERI bagasi berwarna merah yang ditinggalkan di tepi jalan akhirnya terungkai selepas warga kampung menemui mayat manusia dalam keadaan tidak sempurna dalam bagasi tersebut.
Kejadian tersebut berlaku di Kecamatan Tenjo, Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia.
Memetik laporan media antarabangsa, Kompas.com, bagasi tersebut dijumpai oleh penduduk tempatan pada pukul 7.30 pagi Rabu.
Melalui video viral yang dirakam orang awam, kelihatan beberapa bahagian badan manusia yang terkeluar daripada bagasi tersebut.
Seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Isah berkata, dia tidak menyangka bagasi merah tersebut mengandungi jasad manusia.
Katanya, adik ipar dia menemui bagasi tersebut di kawasan semak ketika hendak pergi bekerja.
"Dia berpatah balik dan memberitahu dia menjumpai bagasi di kawasan semak sebelum kami pergi ke tempat kejadian.
"Saya dan adik ipar saya kemudiannya membuka bagasi tersebut dan terkejut melihat mayat manusia di dalamnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Tenjo, Iptu Suyadi berkata, pemeriksaan polis mendapati mayat tersebut dalam keadaan tidak lengkap.
“Mayat mangsa hanya tinggal separuh badan dan kedua-dua belah tangan. Tiada kepala dan kaki.
"Terdapat juga beberapa kesan kecederaan disyaki kesan dipukul dan tangan mangsa juga terdapat kesan ikatan,"katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Bogor, Iman Imanuddin berkata, polis sedang cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai identiti mangsa.
"Siasatan awal mendapati mayat tersebut mempunyai tatu pada lengannya.
"Mayat tersebut berkemungkinan berumur 45 tahun," katanya.
Setakat berita ini ditulis, mayat mangsa dan bagasi berwarna merah dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati untuk bedah siasat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram