[VIDEO] Pengantin lelaki tergamam, 12 'ex-girlfriends' datang serentak masa majlis kahwin


  • Benua
  • Rabu, 22 Feb 2023

Kumpulan wanita itu memegang sepanduk bermaksud: “Kami adalah bekas kekasih Chen Song dan hari ini, kami akan memusnahkan anda." — Agensi

MAJLIS perkahwinan seorang lelaki di China bertukar mimpi ngeri apabila sebilangan bekas teman wanitanya hadir untuk mengganggu acara tersebut, lapor Oddity Central baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 6 Februari lalu, lelaki dikenali sebagai Chen Song itu mengadakan majlis perkahwinannya di sebuah perkampungan di wilayah Yunan, China.

Acara itu bagaimanapun terganggu apabila kira-kira 12 wanita muncul sambil memegang sepanduk bertulis “Kami ialah bekas kekasih Chen Song dan hari ini, kami akan hancurkan kamu.”

Situasi itu pada awalnya disangka gurauan terhadap pengantin, namun tetamu kemudian mendapati semua wanita berkenaan sememangnya bekas kekasih Chen Song yang pernah dikecewakan.

Video memaparkan kejadian itu menjadi tular dengan menunjukkan kumpulan wanita berkenaan memegang sepanduk berwarna merah untuk disaksikan setiap tetamu.

Sebilangan tetamu dilihat bertanyakan kepada mereka mengenai tindakan itu selain Chen Song dan isterinya turut dilihat bercakap dengan mereka.

“Kejadian itu amat memalukan. Kini, isteri dan keluarganya berasa marah terhadap saya,” kata Chen Song.

Tambah lelaki itu, dia mengakui bersikap buruk terhadap semua bekas kekasihnya sebelum ini, namun katanya, dia kini telah berubah.

“Saya masih tidak matang ketika waktu muda dan telah melukai hati ramai gadis,” kata Chen Song sambil menambah, dia memohon maaf atas perbuatannya sebelum ini.

Isteri dan ibu serta bapa mentua Chen Song dilaporkan tidak bercakap dengannya sehingga mereka mendapat penjelasan yang kukuh daripada lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, netizen di media sosial China kebanyakannya tidak memihak kepada Chen Song dan meminta isterinya agar berhati-hati.

“Isterinya perlu berterima kasih kepada semua bekas teman wanitanya, jika saya adalah isteri, saya akan meminta cerai pada waktu itu juga,” kata seorang pengguna media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram