[VIDEO] Kereta kena curi ketika dipandu uji, wanita terkejut Audi 'terbabit' kes penjenayah


  • Benua
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Tangkap layar sebuah kenderaan jenis Audi berwarna hitam dilaporkan terlibat dalam kes jenayah di sebuah pusat beli belah.

SEORANG wanita dari Quebec, Kanada terkejut apabila mendapati kenderaan jenis Audi miliknya yang hilang dilaporkan terlibat dalam satu kes pencurian di pusat beli belah Ontario, baru-baru ini.

Terdahulu, Taylor Anna Kobinger mengiklankan keretanya di Facebook 'Marketplace' pada Januari bagi mendapatkan dana untuk membayar wang pendahuluan rumahnya.

Pada 29 Januari, Kobinger berkata, seorang lelaki telah datang ke rumahnya untuk uji pandu keretanya.

Lelaki berkenaan difahamkan melakukan uji pandu sebanyak dua kali dengan pemanduan pertama berjalan dengan lancar namun sebaik mencuba untuk kali kedua, individu terbabit mula memandu secara berbahaya.

“Dia benar-benar memandu dengan sangat berbahaya dan saya tidak berasa selamat, jadi saya meminta untuk menukar tempat duduk,” kata Kobinger.

Namun, sebaik dia melangkah keluar dari tempat duduk penumpang, lelaki itu terus memecut melarikan keretanya.

“Saya cuba berlari mengejarnya tetapi terjatuh. Saya tergelincir dan sejak saat itu, saya tidak lagi melihat kereta saya." katanya.

Rentetan insiden itu, pada pagi Rabu, Polis Wilayah York (YRP) memberitahu Kobinger bahawa keretanya telah terlibat dalam satu kes kecurian.

Menurut pihak YRP, sebuah kereta dengan plat sama seperti kenderaan Kobinger telah merempuh pintu kaca sebuah pusat beli-belah sebelum didakwa memecah masuk kedai elektronik.

YRP tidak dapat mengesahkan Kobinger sebagai pemilik kereta berkenaan, namun wanita itu telah menyerahkan segala dokumentasi Audi berkenaan kepada saluran berita di Toronto yang menunjukkan ia sepadan dengan keterangan dan nombor plat yang diberikan oleh polis dalam kenyataan akhbar.

Rakaman kamera CCTV dari dalam pusat beli belah Vaughan Mills, di utara Toronto, menunjukkan sebuah kereta Audi A4 berwarna hitam dengan plat lesen Quebec, memandu ke salah sebuah pintu masuk tertutup pusat beli-belah pada kadar kelajuan tinggi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi di pusat beli-belah berhampiran Lebuhraya 400 dan Jalan Rutherford dan polis dilaporkan tiba pada pukul 1.30 pagi.

Kenderaan yang dilaporkan dicuri itu dilihat kali terakhir menuju ke arah Jane Street.

Pihak polis difahamkan sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun belum boleh memberikan keterangan mengenai identiti mereka setakat ini kerana kedua-duanya memakai topeng.

Sementara itu, Datuk Bandar Vaughan Stephen Del Duca menyifatkan kejadian itu sebagai satu perkara gila dalam satu kenyataannya pada Rabu.

"Awal pagi ini, apabila saya mendengar cerita itu, saya tidak percaya.

"Saya selalu membeli-belah di Vaughan Mills dan perkara itu memang keterlaluan.

"Saya tinggal di bandar ini selama 35 tahun dan Vaughan sangat selamat tetapi sesetengah individu masih melakukan unsur jenayah dan diharap ia dapat dibendung oleh semua pihak," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram