GELAGAT seorang lelaki ketika menari tular di media sosial apabila dikatakan mirip seperti Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari.
Menerusi sebuah video, lelaki yang dikenali sebagai Mehroz Baig itu dilihat begitu bersahaja menari bersama seorang pelakon dan pempengaruh, Inaya Khan dalam sebuah majlis.
Kelincahannya ketika menari juga menimbulkan tanda tanya orang ramai, sekiranya seorang menteri sempat meluangkan masa berseronok berbanding menguruskan hal berkaitan negara.
Namun, setelah diselidik, Mehroz merupakan seorang pelajar bidang Sains Media dari Karachi.
Sementara itu dalam video berasingan, Bilawal dilihat berdiri dan merokok sambil dikelilingi oleh pengawal keselamatannya di luar sebuah hotel.
Video tersebut dikongsi oleh salah seorang penyokongnya pada Sabtu.
Pada Disember 2022, Bilawal mencetuskan kontroversi semasa sesi soal jawab bersama Menteri Luar India, S Jaishankar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Dalam sesi itu, Jaishankar dilapor menggelar Pakistan sebagai pengganas dan tuan rumah bagi pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden.
Kata Bilawal kepada pemberita: "Saya ingin memberitahu India bahawa Osama bin Laden memang sudah meninggal dunia, namun penjual daging Gujerat masih hidup dan beliau adalah Perdana Menteri India."
Bilawal mendakwa, Perdana Menteri India, Narendra Modi menjadi punca pembunuhan umat Islam beramai-ramai di Gujerat pada tahun 2002. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram