[VIDEO] Harimau bintang ceroboh taman perumahan cetus panik


  • Benua
  • Ahad, 15 Jan 2023

Haiwan liar terbabit mencerobohi salah sebuah rumah sebelum berjaya ditangkap.

PENDUDUK di sebuah taman perumahan sekitar Faridabad, Delhi, India dikejutkan apabila seekor harimau bintang berusia lima tahun memasuki salah satu rumah pada Ahad.

Menurut laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, operasi menangkap haiwan liar tersebut berlanjutan sehingga lima jam walaupun seramai 50 anggota dikerahkan.

Bagaimanapun, tiada insiden meragut nyawa mahupun kecederaan dilaporkan.

Jurucakap Jabatan Perhutanan berkata, satu panggilan diterima kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan yang mengatakan harimau bintang berkenaan menceroboh sebuah kediaman.

"Harimau bintang itu pada mulanya hanya memasuki sebuah garaj kosong yang hanya diisi sampah dan beberapa barangan lain. Ketika operasi penangkapan dijalankan, haiwan tersebut pergi ke rumah berhampiran dan menuju ke arah bilik air.

"Ketika itu, terdapat dua wanita dalam premis tersebut sebelum arahan untuk mengosongkan kawasan dikeluarkan pihak berkuasa. Selepas hampir empat jam, ia berjaya ditembak dengan ubat penenang," katanya.

Tambahnya, haiwan berkenaan sudah dilepaskan ke hutan berdekatan Ferozepur Jhirka selepas mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan luaran dan dalaman. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram