'Kalau gagal di Liga Thai, itu salah pemain', pesan Pekan Ramli pilih makan gaji buta atau kerja keras


  • Podium
  • Khamis, 12 Jan 2023

Aksi Stuart Wilkin dan Darren Lok ketika mewakili negara menentang Singapura baru-baru ini menambat hati Madam Pang.

BARU-BARU ini, pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam atau Madam Pang berminat membawa dua pemain Harimau Malaya, Stuart Wilkin dan Darren Lok ke saingan Liga Thailand untuk beraksi bersama kelabnya iaitu Port FC.

Madam Pang dikatakan tertarik dengan persembahan yang ditunjukkan oleh tonggak skuad kebangsaan, Stuart dan Darren dalam saingan Piala AFF 2022 baru-baru ini.

Bagi musim ini, Stuart kekal dalam pasukan Sabah FC manakala Darren diumumkan sebagai penyerang baharu skuad di Negeri Bawah Bayu itu.

324500193_733573117870556_2888992040797197579_n

Darren mencetak satu gol buat skuad kebangsaaan pada kempen Piala AFF 2022.

Untuk penyokong Sabah, hasrat Madam Pang mungkin menimbulkan sedikit kegusaran memandangkan Sabah akan beraksi di pentas Piala AFC 2023.

Kehilangan Stuart dan Darren pasti membuatkan skuad Sang Badak tempang lebih-lebih lagi pasukan itu dibelenggu dengan masalah ketumpulan serangan pada musim lepas.

Begitupun penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat hasrat Madam Pang itu perlu disambut dengan nada positif tanpa sebarang prejudis.

Menurut beliau, adalah satu penghormatan kepada Darren dan Stuart untuk mengembangkan sayap apabila berpeluang beraksi dalam liga yang lebih kompetitif daripada Liga Malaysia.

324097289_695364012196092_7692621786805350889_n

Stuart mencetak nama sebagai salah seorang peledak Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2022.

Katanya, soal mendapat minit bermain atau tidak itu terpulanglah kepada pemain itu sendiri kerana umum mengetahui mereka perlu bekerja keras bagi menembusi tempat dalam kesebelasan utama.

"Nama pun liga yang lebih kompetitif, sudah pastilah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama itu bukan mudah.

"Lupakan soal kuota import Asean, kuota itu memang bukan jaminan atau suatu kepastian untuk diturunkan beraksi dalam setiap perlawanan.

"Fikirkanlah nak bermain dalam padang atau cukup sekadar berpuas hati dengan duduk di luar padang dan makan gaji buta.

"Hanya pemain yang tidak bercita-cita tinggi rela bersifat demikian," katanya kepada Majoriti.

PUTRAJAYA 06 NOVEMBER 2019. Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli pada sidang media Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10, di Kementerian Pendidikan Putrajaya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

Pekan berkata, kuota import bukan jaminan atau suatu kepastian untuk pemain diturunkan beraksi dalam setiap perlawanan.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, sebagai pemain import, mereka perlu pandai membawa diri bagi memastikan kelangsungan karier dalam kelab.

"Pastikan tidak ketinggalan pada setiap kenduri. Kalau lemah, lama-lama makin parah, musim menuai belum berakhir, tapi anda sudah tidak dihiraukan setiap kali kenduri.

"Lama-kelamaan akan dilupai dan tersisih keluar atau dihambat pulang. Justeru jadikan peluang yang datang itu ibarat berada di medan perang.

"Biar putih tulang, jangan putih mata...jika gagal di Liga Thailand itu bukan salah orang lain, itu salah sendiri," katanya.

323559937_667969758413926_6088091772339418161_n-e1673065268418-1000x640

Madam Pang berminat untuk membawa Darren dan Stuart ke Liga Thailand.

Jelasnya lagi, Darren dan Stuart juga akan menjadi pembuka jalan kepada peluang besar yang menanti pemain-pemain negara selepas ini.

"Madam Pang bukan sebarangan orang. Jangan hampakan beliau dengan penghormatan yang diberikan ini.

"Peluang ini juga dapat membantu peningkatan prestasi pasukan kebangsaan apabila semakin ramai pemain mendapat penghormatan bermain dengan kelab luar negara," katanya.

Cools beraksi dengan Buriram United pada musim ini. — Facebook

Pemain Malaysia yang pernah mewakili kelab di Thailand adalah Dominic Tan (Police Tero FC), Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima) dan Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United).

Selain itu ialah naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh (Police Tero FC), Curran Ferns, Junior Eldstal (PT Prachuap) dan Zafuan Azeman (Uthai Thani).

Manakala dua pemain akan beraksi di dalam Liga Thailand musim ini adalah Safawi Rasid (Ratchaburi) dan Dion Cools (Buriram United).

Liridon Krasniqi pula sedang bermain di Thailand bersama kelab Khon Kaen United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram