Muka nampak 'ketat', siapa sangka jurulatih kecergasan Kedah ada 'baka' Neymar


  • Podium
  • Rabu, 04 Jan 2023

Antonio sebelum ini pernah menaburkan khidmatnya kepada pasukan Terengganu selama tiga musim. — Facebook/KDAFC

PERUBAHAN barisan kejurulatihan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2023 diterima baik oleh barisan penyokong terutamanya selepas pengumuman Nafuzi Zain sebagi ketua jurulatih Sang Kenari.

Kemasukan jurulatih muda itu sebagai pengendali Kedah musim 2023 dinantikan oleh penyokong dan rata-ratanya senada bahawa Nafuzi mampu membantu pasukan Sang Kenari untuk tampil lebih garang tahun depan.

Dalam laporan media, pengendali berusia 44 tahun itu juga tekad untuk bertanggungjawab membantu Kedah mengembalikan zaman kegemilangan Sang Kenari meskipun dia sedia maklum ia merupakan cabaran besar buatnya.

Matlamat menaikkan semula nama Kedah itu pastinya bukan tanggungjawab Nafuzi seorang kerana pengendali Kelantan itu juga akan dibantu oleh beberapa pegawai kejurulatihan baharu.

Antara barisan kejurulatihan baharu skuad Sang Kenari ialah Yazid Yassin selaku jurulatih penjaga gol), Helber Richard (Fisioterapi) dan Antonio Silvio sebagai jurulatih kecergasan.

Manakala Victor Andrag kekal sebagai penolong ketua j urulatih dan Hadi Ahmad pula sebagai penolong ketua jurulatih penjaga gol Kedah FC pada musim depan.

Dalam senarai wajah baharu yang akan membimbing skuad berpangkalan di Utara tanah air itu, kehadiran Antonio Silvio sebagai jurulatih kecergasan menarik perhatian.

WhatsApp Image 2023-01-03 at 22.29.20

Antonio ketika sesi latihan pra-musim bersama pemain Kedah. — Facebook/KDAFC

Menerusi perkongsian Kedah di laman Facebook rasmi kelab itu, kelihatan beberapa gambar menunjukkan Antonio melakukan sesi latihan pra-musim dengan berisan pemain.

Rata-rata penyokong mengatakan bahawa dengan raut wajahnya yang cukup garang pasti membantu untuk mendisplinkan para pemain, sekali gus menjaga kecergasan mereka.

Jurulatih kecergasan dari benua Amerika Selatan itu nama yang tidak asing lagi dalam Liga Malaysia berikutan sebelum ini dia pernah menyumbangkan kepakarannya bersama skuad Penyu.

Pada 2019, pihak pengurusan Terengganu FC berhasil mendapatkan khidmat jurulatih yang pernah bekerja dengan pasukan berpangkalan di Brazil, Santos FC.

Santos FC merupakan kelab yang bersaing dalam liga tertinggi Brazil dan pasukan tersebut juga melahirkan bintang berkualiti seperti tonggak Paris Saint-Germain, Neymar Jr.

Sebelum berhijrah ke Barcelona, Neymar beraksi bersama Santos FC sebagai kelab pertamanya dengan menyumbang sebanyak 138 gol dalam 230 perlawanan.

Selain pengalaman bersama Santos FC, Antonio juga pernah menjadi jurulatih kecergasan kelab Thailand iaitu Trang FC dan Ang Thong.

Dengan pengalamannya itu, Antonio diyakini mampu membantu Nafuzi dalam menaikkan semula nama Kedah atau mungkin melahirkan bintang setanding Neymar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram