SEORANG wanita berusia 20 tahun dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas terlibat dalam kemalangan maut pada Ahad.
Rakaman kamera litar tertutup CCTV memaparkan insiden terbabit apabila mangsa dilanggar dan diseret sebuah kenderaan jenis Maruti Baleno di sebuah lokasi di Kanjhawala, North West Delhi, India.
Salah seorang saksi, Dahiya berkata, dia terkejut apabila melihat kereta terbabit membuat pusingan U di laluan berkenaan apabila seorang wanita jelas kelihatan berada di bawah kereta tersebut.
"Kereta suspek mengheret mayat wanita itu sejauh 18 km dalam perjalanan selama setengah jam.
"Waktu itu pukul 3.20 pagi, saya sedang berdiri di luar kedai dan terdengar bunyi dentuman kuat daripada kereta berkenaan.
"Saya sangkakan bahawa ia bunyi letupan tayar namun sebaik kereta itu bergerak saya ternampak mayat wanita yang diseret, jadi saya terus laporkan hal itu ke pihak polis," katanya.
Tambahnya lagi, suspek sebelum ini kerap memandu di laluan yang sama dan membuat pusingan U berulang kali.
"Saya cuba untuk menghalang dan mengejar pemandu itu tetapi suspek tidak menghentikan kenderaan dan lebih setengah jam dia mengheret mayat itu di atas jalan raya," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal menyifatkan kejadian itu sebagai perkara yang memalukan dan berharap pesalah dijatuhi hukuman paling berat.
"Apa yang berlaku di Kanjhawala adalah sangat memalukan, saya berharap pesalah akan dijatuhi hukuman berat," katanya di laman Twitter.
Menurut laporan media tempatan, suspek berjaya ditahan dan mendakwa kejadian itu tidak disengajakan kerana tingkap keretanya terbuka dan bunyi radio terlampau kuat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram