BEBERAPA pengunjung di sebuah taman tema di Taman Impian Jaya Ancol, Jakarta Utara, Indonesia mengharungi detik cemas apabila permainan 'Tornado Ride' yang dinaiki terhenti secara tiba-tiba pada Sabtu.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat kerosakan pada bahagian sistem sensor permainan tersebut yang sekali gus menyebabkan alat permainan itu terhenti ketika orang ramai sedang menaikinya.
Pejabat Perhubungan Awam Taman Impian Jaya Ancol, Ariyadi Eko Nugroho berkata, mesin permainan itu berhenti mengejut akibat kerosakan pada sistem sensor.
"Fungsi pada papan pemuka permainan itu mengalami sedikit kerosakan dan gagal berfungsi dengan tepat sehingga menyebabkan ia terhenti ketika membawa penumpang," katanya.
Susulan kejadian tersebut, insiden itu mengundang rasa panik serta cemas dalam kalangan penumpang dan juga pengunjung lain yang turut berada di taman tema berkenaan.
Ruangan komen di Instagram dipenuhi dengan kecaman serta kerisauan warganet berhubung kerosakan tersebut.
"Kasihan penumpang yang tergantung di atas permainan itu, sepatutnya pihak pengurusan perlu segera baiki dan bawa turun penumpang bukan hanya membiarkan sahaja," kata anwar_ariadi.
"Memang bahaya permainan seperti ini, sepatutnya sudah tidak boleh beroperasi dan kanak-kanak tidak digalakkan untuk menaikinya," ujar Rizkiwidiaa.
"Situasi macam ini sangat menakutkan, sepatutnya mesti ada sistem yang boleh dikendalikan secara manual," jelas tomiabp.
Tambah Ariyadi, sensor kenderaan pacuan adrenalin itu rosak dipercayai akibat terkena air hujan lebat yang melanda kawasan Dufan minggu lalu.
"Apabila sensor mengalami kerosakan, sistem keselamatan pada permainan itu akan terhidup secara automatik dan menyebabkan segala pergerakan terhenti walaupun ia sedang bergerak.
"Jadi, situasi itu sememangnya merupakan sebahagian daripada fungsi keselamatan pada 'Tornado Ride' tersebut bagi memastikan keselamatan penumpang," katanya.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas cuaca hujan lebat dan pengunjung dikejutkan dengan permainan tersebut yang gagal berfungsi secara tiba-tiba. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram