SEORANG pegawai polis dipecat pada minggu lalu, selepas bertindak mengheret seorang wanita yang digari ke dalam penjara.
Gregory Damon sudah dibebaskan oleh Jabatan Polis Tampa, dekat Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa setelah siasatan dijalankan ke atasnya.
Menurut polis, Damon dan beberapa anggota lain pada 17 November lalu dilapor mengusir seorang wanita yang sedang tidur di sebuah pusat kesihatan, namun wanita terbabit berkeras tidak mahu beredar.
Sebelum ini, wanita tersebut diberi amaran dan ditahan oleh Damon kerana menceroboh di tempat sama pada Oktober.
Menerusi video tular, wanita itu dilihat enggan keluar dari kereta peronda polis sebelum mencabar Damon untuk menyeretnya.
Kedegilan wanita itu menyebabkan Damon berang, sebelum anggota polis itu menarik tangan wanita yang bergari dan menyeretnya di tempat letak kereta.
Polis berkata, tahanan itu tidak cedera semasa kejadian tersebut.
"Sepanjang kejadian, wanita itu berulang kali menggunakan kata kesat dan lucah.
"Damon yang pada mulanya kekal profesional terus hilang sabar dan terus membuat komen menghina tahanan," kata agensi itu.
Damon menyertai pasukan polis sebagai pegawai peronda sejak Ogos 2016. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram