SEORANG pemandu lelaki mempamerkan aksi lagak samseng apabila dilihat mengacukan senjata pistol ke arah pemandu lain di jalan raya berhampiran Kelapa Gading, Jakarta Utara, Indonesia pada Ahad.
Suspek yang memandu kereta jenis Mitsubishi Pajero itu disyaki anggota polis kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang biasa digunakan oleh pasukan keselamatan itu namun ia belum disahihkan mana-mana pihak setakat ini.
Insiden itu difahamkan berpunca akibat salah faham antara kedua pemandu berkenaan ketika ingin memasuki ke sebuah lorong di laluan berkenaan.
Rakaman berdurasi 39 saat itu memaparkan perbuatan ganas pemuda berimej botak dan berbaju hitam tersebut apabila mengejar mangsa sehingga ke Bulatan Ivory Boulevard sebelum mengacukan pistol ke arah mangsa.
Tertuduh kemudiannya menghentikan kenderaan di hadapan kereta mangsa dan meluru ke arah pintu pemandu sebelum memberikan beberapa kata-kata kecaman dan ugutan ketika kejadian.
Tersentak dengan situasi itu, mangsa kemudiannya meneruskan perjalanan sambil merakamkan imej suspek dengan tujuan ingin menyebarkan insiden itu di laman media.
Susulan itu, video tersebut kian tular di laman Instagram dan menerima lebih 15,000 jumlah tontonan setakat ini.
"Jangan hanya tular di laman media, terus laporkan kes itu ke pihak polis kalau mahu keselamatan diri dan keluarga terjamin," kata parasiantambunan.
"Rata-rata pemandu kereta Pajero mesti berlagak samseng, baru buat salah sedikit sudah mahu membunuh macam tiada undang-undang negara," jelas racharis2.
"Kalau sudah tertangkap polis nanti baru dia tahu erti penyesalan, zaman canggih sekejap sahaja muka dia boleh tersebar merata," tambah erissukarti.
Namun, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kejadian terbabit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram