SEORANG remaja berusia 17 tahun yang dikatakan penyokong Argentina maut selepas ditikam seorang lelaki dikenali sebagai ET di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia pada awal pagi Isnin.
Mangsa, Jason Buluran dipercayai ditikam selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Argentina yang berkesudahan negara Amerika Latin itu menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa tambahan.
Jason dipercayai ditikam gara-gara rasa tidak puas hati ekoran ejek-mengejek antara penyokong kedua-dua pasukan itu.
Difahamkan, suspek yang juga penyokong Perancis sudah ditahan polis pada hari sama pembunuhan itu berlaku.
Sementara itu, seorang rakan mangsa, Selin Rorong berkata, dia tidak menjangka tragedi berdarah itu akan berlaku.
"Memang saya terkejut dan tidak percaya perkara ini berlaku kerana Jason merupakan seorang yang sangat baik," katanya.
Difahamkan, perlawanan akhir Piala Dunia itu memang menjadi tumpuan penyokong di Manado.
Malah, selepas perlawanan tamat yang menyaksikan Argentina menjulang Piala Dunia, penyokong di Manado telah berarak dengan menggunakan motosikal.
Malah, mereka juga membawa bendera Argentina sambil memasang lagu hip hop sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram