Pengusaha tapak khemah akur arahan tutup seminggu


  • Primer
  • Selasa, 20 Dis 2022

Pegawai penguat kuasa MPAJ membuat pemantauan di tempat perkhemahan dan perkelahan di Kemensah.

PENGUSAHA tapak rekreasi dan perkhemahan di Ampang Jaya dan Kajang mematuhi arahan kerajaan Selangor untuk menutup selama seminggu, berikutan kejadian tanah runtuh di Batang Kali dekat Genting Highlands pada 16 Disember.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu StarMetro bahawa pematuhan daripada pengusaha adalah sangat baik, dengan pegawai terus memantau keadaan sehingga arahan itu ditarik balik.

Setiausaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Julaihah Jamaludin berkata, pegawai penguatkuasanya sedang membuat pemantauan bagi memastikan pengendali mematuhi arahan negeri.

“Setakat ini, pengusaha telah mengetahui arahan baharu itu dan masih belum beroperasi.

“Sejak Sabtu, pegawai telah membuat semakan di 15 lokasi perkhemahan dan perkelahan terutamanya di kawasan Kampung Kemensah,” katanya.

Kampung Kemensah, terletak berhampiran dengan Zoo Negara, merupakan kawasan perkhemahan dan mendaki yang popular serta menawarkan aktiviti seperti makan tengah hari berkelah di tepi sungai.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengeluarkan arahan supaya semua tapak perkhemahan dan perkelahan di negeri itu ditutup selama tujuh hari mulai 17 Disember.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga meminta semua tapak perkhemahan berhampiran lereng bukit atau tebing sungai dikosongkan buat sementara waktu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Seorang pengusaha di Kampung Kemensah berkata, tempat perkhemahan telah ditempah sepenuhnya pada hujung minggu cuti sekolah.

“Sesetengah pelanggan mahukan bayaran balik penuh, jadi kami tiada pilihan selain membayar balik kepada mereka.

“Yang lain sanggup menangguhkan perjalanan mereka ke sini, jadi harap kami boleh buka semula sebelum sekolah bermula semula,” kata pengendali yang enggan namanya didedahkan.

Pengusah itu menambah bahawa beliau telah memilih untuk tidak menerima tempahan baharu sehingga pihak kerajaan negeri menarik balik arahan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Najmuddin Jemain berkata, majlis itu tidak mengeluarkan sebarang lesen atau permit untuk tapak perkhemahan kerana kebanyakan tapak perkhemahan di Kajang dan Hulu Langat berada di kawasan hutan, yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan.

“Bagi pusat peranginan dan inap desa berlesen, kami menasihatkan mereka supaya mematuhi arahan dan berkongsi maklumat dengan pengunjung mereka.

“Setakat ini, mereka akur dan kami belum menerima sebarang laporan menyatakan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam notis awam, MPKj menasihatkan pengunjung supaya menangguhkan sebarang aktiviti luar di kawasan berisiko tinggi seperti di kawasan berbukit, di tepi pantai dan kawasan mudah banjir.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan serta mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Tourism Selangor berkata, Taman Hutan Eko Kanching di Rawang serta Taman dan Resort Sungai Congkak di Hulu Langat ditutup.

Beberapa pihak berkuasa tempatan lain telah mengeluarkan nasihat yang sama, termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya serta majlis perbandaran Selayang dan Hulu Selangor.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan maut daripada 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Gohtong Jaya di Jalan Genting-Batang Kali. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram