SEBUAH video memaparkan hukuman ke atas lelaki yang melakukan kesalahan besar di sebuah pusat pengajian tinggi tular di media sosial.
Video tersebut memaparkan, lelaki tersebut bukan sahaja diikat di pokok, malah disiram dan dipaksa minum air kencing sebelum dibogelkan.
Difahamkan, hukuman tersebut dilaksanakan gara-gara lelaki itu melakukan gangguan seksual di Universiti Gunadarma, Depok, dekat Jawa Barat, Indonesia.
Sehingga Rabu, video tersebut mendapat 5,708 komen, 7,240 perkongsian (retweet) dan 33,800 tanda suka (likes) oleh pengguna laman Twitter.
Kronologi kejadian
Mangsa gangguan seksual berkongsi pengalaman pahit yang dialami menerusi akaun @sbcdyougoblog di Twitter.
Menerusi perkongsian itu, mangsa dan suspek bertemu di kampus pada 2 Disember lalu.
"Kami berdua belajar di kampus sama. Saya anggap dia sebagai kawan saya dan tidak memikirkan perkara buruk," katanya.
Ketika melakukan pertemuan itu, kata mangsa, mereka hanya berbual mengenai perkara berkaitan kolej dan persahabatan di kampus.
Tidak beberapa lama kemudian, suspek pergi ke tandas di bawah tangga.
"Kemudian dia menelefon saya. Saya ingat dia hanya mahu bertanya keberadaan tandas lelaki atau perempuan kerana tiada papan tanda untuk membezakannya.
"Tetapi, ketika saya menuju kepadanya, dia secara tiba-tiba menolak saya ke hujung dinding yang sangat sunyi. Kemudian dia melakukan gangguan itu. Saya pula sempat menolaknya," tulisnya.
Hantaran mangsa di Twitter itu kemudian dibaca oleh rakan-rakannya yang lain dan mereka dapat mengesan suspek.
Berang dengan perlakuan suspek, sekumpulan pelajar mengheretnya ke tengah-tengah laman kampus dan mengenakan hukuman.
"Dia diarah minum air kencing sendiri, diikat, dicucuh dengan puntung rokok dan ditendang," kata seorang pelajar yang dikenali sebagai MI.
Kes selesai
Sementara itu, pegawai polis Metro Jaya, Komisioner Besar Polis Endra Zulpan berkata, kes gangguan seksual berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, tiada sebarang laporan polis dibuat mangsa.
Tambahnya, kedua-dua mangsa dan suspek sepakat untuk menyelesaikan kes itu secara baik.
Katanya lagi, mangsa turut mengakui malu sekiranya kes tersebut terus berlarutan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram