[VIDEO] Guru rasis sepak tangan, tuduh pelajar Islam 'bersihir' ketika solat


  • Benua
  • Selasa, 13 Dis 2022

Tangkap layar video ketika guru terbabit sedang mengganggu para pelajar Islam menunaikan solat.

PENDUDUK dunia dilahirkan dengan berbilang kaum dan menganut agama yang berbeza.

Oleh itu, sikap hormat-menghormati antara satu sama lain adalah amat penting bagi mengekalkan kehidupan harmoni.

Namun, perkara itu bercanggah kepada seorang guru apabila dia ditangkap berkelakuan rasis terhadap agama lain.

Menerusi video tular, guru berkenaan dilihat mengganggu pelajar Islam ketika mereka sedang menunaikan ibadah solat di Akademi Franklin, di Pembroke Pines, dekat Florida, Amerika Syarikat (AS).

Ketika tiga pelajar terbabit sedang menunaikan solat, kedengaran suara leteran guru berkenaan yang jelas tidak menggemari ibadah tersebut dilakukan di dalam pejabatnya.

"Ini pejabat saya dan anda semua sedang melakukan sihir," kata guru tersebut.

Dia kemudian seolah-olah meniup wisel bagi menarik perhatian mereka, sebelum secara biadabnya melintasi hadapan salah seorang pelajar yang sedang bersujud.

Lebih teruk, guru berkenaan dilihat menendang tangan pelajar terbabit.

Pada masa sama, para pelajar tersebut tidak mengendahkan perbuatan guru berkenaan dan masih meneruskan ibadah itu.

Video berkenaan mencetuskan kemarahan di media sosial dan sudah ditonton lebih tiga juta kali.

Sementara itu, sekolah terbabit sudah pun menyiasat perkara tersebut, manakala guru terbabit sudah dipecat.

Menerusi satu kenyataan, ia menegaskan bahawa tiada sebarang tolak ansur dan kompromi berhubung sebarang tingkah laku diskriminasi.

"Walaupun kami tidak membincangkan hal kakitangan, kami boleh memaklumkan bahawa guru terbabit bukan lagi kakitangan Akademi Franklin.

"Kami berterima kasih kepada ibu bapa kerana bekerjasama dan mempercayai kami. Melalui komunikasi berterusan yang kami pupuk sebagai satu pasukan, sekolah ini boleh menjadi lebih kukuh," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram