[VIDEO] Angkara kencing di sofa, tuan binatang 'naik hantu' pijak anjing peliharaan sampai lunyai


  • Benua
  • Rabu, 07 Dis 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bertindak ganas memukul anjing peliharaannya di Wigan, England.

SIFAT penyayang seseorang individu yang memiliki binatang peliharaan akan teruji apabila haiwan yang dikasihi mula mempamerkan perkara kurang disenangi.

Masing-masing mempunyai tahap kesabaran tertentu dan perkara buruk boleh tercetus sekiranya ia gagal dikawal dengan baik.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi kes penderaan dan keganasan haiwan dilakukan seorang lelaki dikenali sebagai Matthew Hurst, 23, dari Wigan, England apabila didakwa menendang dan memijak anjing peliharaannya sebanyak 15 kali baru-baru ini.

Kejadian pada awal November itu dipercayai berpunca selepas anjing itu kencing atas karpet dan sofa ruang tamu di rumahnya.

Gagal mengawal kemarahan, Hurst kemudiannya mula mengamuk apabila dilihat menghempas dan memukul anjing itu ke lantai berulang kali.

Tular di laman media, rakaman kejadian terbabit dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) rumah tersebut.

Susulan insiden itu, suspek telah ditahan oleh pihak polis di Mahkamah Majistret Wigan dan dilaporkan hilang kelayakan daripada memelihara sebarang haiwan dalam tempoh sepuluh tahun.

Selain itu, lelaki terbabit turut dijatuhi hukuman penjara selama 16 minggu selain perlu menjalani aktiviti pemulihan selama 20 hari, bekerja selama 120 jam tanpa gaji dan membayar denda mahkamah sebanyak RM13,670.

Dalam pada itu, haiwan berkenaan difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kejadian itu namun doktor haiwan mengesahkan anjing tersebut mempunyai kesan hentakan sekurang-kurangnya 21 pukulan di perut, dada serta kepala akibat perbuatan keji tersebut.

Menurut Persatuan Perlindungan Keganasan Haiwan (RSPCA), Inspektor Ryan King berkata, kejadian pukul itu merupakan perkara paling teruk pernah dilihatnya.

"Ini adalah kes paling teruk yang pernah saya lalui sepanjang tiga tahun bekerja sebagai seorang pemeriksa RSPCA," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram