SEORANG gadis Thailand berdepan dengan detik menakutkan selepas dia diculik dan dirogol seorang lelaki di hadapan sebuah taman awam pada waktu malam baru-baru ini.
Insiden itu berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang terletak di taman tersebut.
Pada waktu kejadian yang berlaku 20 November lalu, mangsa dikenali sebagai Noi sedang menuju ke arah motosikal yang diparkir di Taman Awam Tung Sri Mueng di Ubon Ratchathani, Thailand sebelum dihampiri suspek, Pathanin Jen.
Pathanin terus menendang Noi di kepala menyebabkan mangsa jatuh dari motosikalnya dan lebih kejam lagi suspek terus menyepak mangsa di badan berkali-kali sehingga pengsan.
Melihat keadaan Noi sudah tidak bermaya, supek kemudian mengheret mangsa ke sebuah rumah kosong dan terus merogolnya.
Memetik laporan media antarabangsa, Thaigernews, Noi dapat menyelamatkan diri beberapa jam selepas itu dan terus melaporkan insiden berkenaan kepada Balai Polis Udon Ratchathani.
Polis ke kediaman suspek pada 25 November dan menemui seorang lagi mangsa rogol yang diculik beberapa hari sebelum itu.
Mangsa kedua, Nid berusia 18 tahun memberitahu polis, dia berasal dari wilayah Selatan Thailand dan ingin berjumpa teman lelakinya di daerah Sisrakate.
Dia bertemu Pathanin secara kebetulan di Terminal Bas Ubon Ratchathani pada 22 November dan suspek mempelawa untuk menghantar Nid ke rumah teman lelakinya.
Namun, mangsa dibawa ke rumah ke rumah suspek sebelum dirogol dan dikurung selama empat hari sebelum polis menemuinya.
Siasatan awal polis mendapati, Pathanin mengaku memberi ubat penenang kepada Nid supaya dia tidak dapat melarikan diri.
Selain dua kes rogol, Pathanin mengaku mencuri tiga motosikal dan pakaian seragam pengawal keselamatan untuk menyembunyikan jenayahnya.
Menurut laporan polis, Pathanin merupakan seorang bekas banduan berusia 41 tahun dan juga pernah ditangkap empat kali sebelum ini atas kesalahan mencuri serta melakukan serangan fizikal sebelum dibebaskan dari penjara pada pertengahan tahun ini.
Kedua-dua mangsa yang trauma dengan kejadian tersebut kini sedang mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Thailand.
Ekoran daripada insiden tersebut, penduduk Ubon Ratchathani menggesa pihak berkuasa untuk mengetatkan langkah keselamatan di taman awam dan tempat berisiko lain di wilayah itu dengan menambah lebih banyak lampu jalan, kamera keselamatan dan menggajikan lebih ramai pengawal keselamatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram