[VIDEO] Polis siasat ahli politik mabuk, acu pistol masa 'live'


  • Benua
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Tangkap layar memaparkan Joginder (baju kuning) memegang sepucuk pistol.

TULAR satu video di media sosial memaparkan seorang wakil pilihan raya di India mengacu sepucuk pistol dipercayai dalam keadaan mabuk ketika bersiaran langsung secara maya.

Calon Parti Aam Aadmi (AAP), Joginder Singh yang bertanding dalam Pilihan Raya Perbandaran Delhi (MCD) menerima kritikan orang ramai dengan rata-rata daripada mereka mempersoalkan kredibilitinya.

Tidak cukup dengan itu, pihak polis Delhi turut bertindak membuka kertas siasatan ke atasnya di bawah Seksyen 25 SAkta Senjata Api selepas tindakannya untuk menunjukkan pistol berkenaan.

Dalam video berdurasi 18 saat itu, Singh dilihat mengenakan baju T berwarna kuning bersama beberapa lagi rakannya kelihatan sedang menari dan bersuka ria.

Sementara itu, penyokong dan calon lain daripada parti Bharatiya Janata Party (BJP) turut menggunakan kesempatan itu untuk meraih undi dengan terus menyiarkannya untuk tatapan umum.

Seorang calon BJP, Shehzad Poonawalla menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya menegaskan bahawa kelakuan itu mencerminkan situasi parti dan individu dalam AAP secara keseluruhan.

"Menteri semua sudah terpalit dengan jenayah dan kesemua calon mereka tidak relevan, ia adalah satu fakta tepat mengenai AAP," ciapnya sambil berkongsi video ringkas tersebut.

Pilihan raya itu dijadualkan berlangsung pada 4 Disember dengan MCD menjadi satu entiti tunggal selepas sebelum ini dipecahkan berdasarkan faktor geografi Delhi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram