[VIDEO] Terlelap di pondok keselamatan, 'jaga' wanita terkejut kepala dihentak berkali-kali guna tukul


  • Benua
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Mangsa terlelap di pondok pengawal keselamatan sebelum diserang suspek yang tidak dikenali.

SEORANG wanita yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri mengalami detik menakutkan selepas dia diserang perempuan tidak dikenali menggunakan senjata pada waktu malam baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku di Kondominium Punta Pelícanos, La Cruz de Huanacaxtle, Mexico pada pukul 6.25 pagi pada 28 November lalu.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berkenaan menunjukkan mangsa pada waktu kejadian sedang tidur sebelum suspek memakai jaket dan bertopi tiba-tiba melulu masuk ke pondok pengawal berkenaan dan terus memukulnya menggunakan tukul.

Lebih kejam lagi, suspek terus memukul mangsa sebanyak 12 kali di kepala walaupun mangsa menjerit memintanya untuk berhenti.

Pengawal keselamatan itu juga dilihat cuba melawan dan bergelut dengan suspek, sebelum dia melarikan diri daripada tempat kejadian.

Mangsa yang berlumuran darah kemudiannya menghubungi rakan setugasnya dan dihantar ke hospital berdekatan.

Sementara itu, pihak polis tempatan mengesahkan kejadian tersebut dan suspek yang menghilangkan diri masih diburu.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat impak pukulan tersebut dan masih menerima rawatan di salah sebuah hospital di San Clemente de Lima.

Setakat berita ini ditulis, belum diketahui motif sebenar suspek bertindak demikian dan menurut penduduk tempatan, wanita itu sering kali dilihat berkeliaran di kawasan premis tersebut beberapa hari sebelum kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram