SEORANG lelaki maut selepas ditumbuk dua kali di muka oleh seorang individu tidak dikenali di stesen bas Mussurunga, Salvador, Brazil.
Mangsa yang dikenali sebagai Rubem Dario Goncalves, 56, mengalami kecederaan serius selepas dilihat rebah dan kepalanya terhantuk di lantai akibat serangan tersebut.
Menurut laporan polis, kejadian itu difahamkan berpunca akibat satu pertengkaran yang berlaku antara kedua-dua individu terbabit dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan suspek.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa sedang berbual bersama seorang jurujual yang bekerja di stesen tersebut sebelum didatangi suspek yang datang dari arah belakang ketika kejadian.
Suspek kemudiannya terus menumbuk muka mangsa sebanyak dua kali sehingga terkulai di lokasi berkenaan.
Meskipun cuba dikejar beberapa pengawal keselamatan dan orang awam, suspek dilaporkan berjaya meloloskan diri dalam adegan mencemaskan itu.
Rubem Goncalves telah dibawa ke Unit Rawatan Kecemasan (UPA) Sao Cristovao dan kes berkenaan kini sedang disiasat oleh Jabatan Pembunuhan dan Perlindungan Peribadi (DHPP). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram