VIDEO seorang lelaki Indonesia mencekik pekerja wanita di sebuah stesen minyak tular di media sosial. Tindakan itu didakwa tercetus berikutan perselisihan faham ketika lelaki terbabit membeli bahan api diesel untuk isian dalam botol pada Isnin.
Dalam video berdurasi 11 saat itu, suspek secara tiba-tiba menghampiri petugas stesen minyak tersebut dari belakang dan mengepit leher mangsa dengan lengannya.
Dia seolah-olah mengacukan pisau pada leher mangsa namun penelitian lanjut mendapati, dia hanya menggunakan tangan dan menggenggam penumbuk ketika mengasari pekerja berkenaan.
Tindakan lelaki itu kemudian dihalang oleh seorang pekerja lain di sebuah stesen minyak di daerah Pagelaran, Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.
Polis berjaya mengesan identiti suspek berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Difahamkan, suspek merupakan pemandu teksi motosikal yang diupah membeli diesel bagi kegunaan traktor.
Ketua Polis Daerah Pagelaran, Ajun Komisaris Isep Sukana berkata, dalam kejadian pada Isnin (14 November), suspek dikatakan berang kerana pekerja wanita itu hanya mengisi sebanyak 10 liter (l) diesel sedangkan dia membayar untuk 20l bahan bakar tersebut.
Katanya, suspek sering datang ke stesen tersebut bagi membeli diesel untuk pemilik-pemilik traktor yang mengupahnya.
"Mereka (pemilik traktor) membayar mengikut upah perkhidmatan teksi motosikal," katanya seperti dipetik portal Detik Jabar.
Berdasarkan siasatan awal, Isep berkata, selepas mengisi botol dengan 10 liter diesel, pekerja stesen minyak itu berhenti seketika untuk melayani kenderaan lain.
“Suspek jadi berang kerana dia sudah membuat pembayaran namun hanya satu botol diisi minyak diesel sebanyak 10 liter. Padahal dia membeli 20 liter minyak untuk traktor itu,” katanya.
Menurutnya, polis menangkap suspek kerana tindakan itu satu keganasan dan tidak wajar dilakukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram