[VIDEO] Padah bikin onar, pengantin tumbuk tetamu mabuk hancurkan kek kahwin


  • Benua
  • Isnin, 14 Nov 2022

Tangkap layar pengantin lelaki menumbuk muka seorang tetamu yang merosakkan kek perkahwinannya.

MAJLIS perkahwinan merupakan hari bersejarah yang pastinya akan menjadi kenangan indah kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Begitu juga dengan pengantin baharu di Rusia yang turut meraikan detik bermakna itu bersama ahli keluarga dan kenalan.

Bagaimanapun satu kejadian yang tidak diduga berlaku baru-baru ini apabila seorang lelaki muncul merosakkan kek perkahwinan pasangan bahagia itu.

Lelaki terbabit yang dalam keadaan mabuk telah menghampiri pengantin lelaki dan perempuan ketika mereka sedang memotong kek di majlis itu.

Secara tiba-tiba lelaki mabuk itu mengambil kek yang diletakkan di atas meja menggnakan tangan dan menghancurkannya.

Kek yang hancur itu kemudian dilempar ke arah pengantin.

Disebabkan marah dengan tindakan lelaki mabuk berkenaan, pengantin lelaki yang menahan marah terus menumbuk muka tetamu itu yang juga dipercayai rakannya.

Seorang individu kemudian muncul meleraikan pergaduhan dua sahabat itu.

Kejadian tersebut secara tidak langsung tular di media sosial.

Warganet berpendapat lelaki mabuk itu bernasib baik kerana tidak ditikam dengan pisau.

“Bayangkan apa akan berlaku jika pengantin lelaki menikamnya dengan pisau,” kata RizzJo_

“Lelaki itu masih mampu mengawal kemarahannya dan bertindak rasional dengan hanya menumbuk sahaja sedangkan di tangan kirinya memegang pisau,” kata Camellia_Austin.

Difahamkan lelaki mabuk itu kemudian berjaya ditenangkan oleh beberapa tetamu lain manakala majlis diteruskan seperti biasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram