[VIDEO] Tuntut hak wanita, polis belasah penunjuk perasaan guna kayu tanpa belas kasihan


  • Benua
  • Isnin, 07 Nov 2022

Tangkap layar sekumpulan wanita dipukul polis ketika membuat protes di India.

SEKUMPULAN penunjuk perasaan wanita dilaporkan dibelasah polis di Uttar Pradesh, India baru-baru ini.

Kumpulan terbabit didakwa menuntut supaya golongan wanita tidak lagi dipandang sebagai simbol seks dan memberi peluang untuk bekerja dan belajar dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, aktiviti sekumpulan wanita tersebut dihentikan oleh sekumpulan polis yang bukan saja memarahi mereka, tetapi turut memukul dengan batang kayu.

Menerusi rakaman video yang tular di Twitter sejak Isnin, kelihatan beberapa wanita dipukul tanpa belas kasihan sebanyak beberapa kali sehingga meraung kesakitan.

Tidak setakat itu, terdapat juga beberapa wanita yang tidak sedarkan diri setelah dipukul oleh kumpulan anggota polis.

Melihat kepada kekejaman tersebut, penduduk setempat meluahkan rasa tidak puas hati.

Rata-rata berpendapat anggota yang menggunakan kekerasan perlu diambil tindakan seperti diberhentikan kerja atau digantung tugas.

“Mereka itu wanita yang berlawan dengan tangan kosong sedangkan mereka lelaki dalam kumpulan ramai menggunakan kayu,” kata catch_me.

Dalam pada itu terdapat juga pengikut media sosial yang menyokong tindakan polis memandangkan terdapat juga anggota wanita tercedera.

“Tidakkah kalian lihat bagaimana polis wanita itu dipukul oleh wanita lain. Polis juga tercedera dan bukan hanya orang awam,” kata DeewannJi.

Sementara itu, Ketua Polis Uttar Pradesh dilaporkan sedang menyiasat insiden tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram