[VIDEO] Bateri basikal elektrik disyaki punca, puluhan cedera termasuk 2 kritikal nahas pangsapuri terbakar


  • Benua
  • Isnin, 07 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan anggota bomba sedang berusaha menyelamatkan mangsa kebakaran.

DUA parah dan 36 mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian nahas kebakaran yang berlaku di sebuah pangsapuri di Midtown, New York di Amerika Syarikat pada Sabtu lalu.

Menerusi laporan NBC News, Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) menerima panggilan kecemasan tersebut pukul 10.24 pagi.

Kebakaran itu mula tercetus dari tingkat 20 bangunan pangsapuri tersebut.

Sebaik sahaja anggota bomba sampai di tempat kejadian, mereka segera melakukan tugas menyelamat.

Menerusi rakaman video yang sempat dirakam oleh saksi kejadian, anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa menggunakan tali penyelamat.

Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan.

Menurut laporan, daripada 38 mangsa kebakaran tersebut, dua kritikal, lima anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) parah, dan selebihnya hanya cedera ringan.

Kebakaran yang berlaku dikatakan berpunca daripada bateri ion lithium yang disambung pada sebuah peranti.

"Bilik-bilik di pangsapuri itu mampu terbakar dalam masa hanya beberapa saat sahaja", kata Ketua Perkhidmatan Bomba, Daniel Flyn.

"Kami percaya penghuni bangunan sedang membaiki basikal elektrik dan api marak dari pintu hadapan. Kami menemui lima basikal serupa di pangsapuri ini," tambahnya lagi.

Punca sebenar kebakaran yang berlaku masih dalam siasatan dan setakat ini tiada maklumat lanjut yang dilaporkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram