
TULAR sebuah video memaparkan seorang lelaki dipercayai positif Covid-19 dibawa turun menggunakan kren di China pada Rabu.
Video berdurasi 14 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
Menurut laporan News18, penduduk di China khususnya di Wuhan masih trauma sejak wabak Covid-19 melanda kawasan tersebut.
"Pelbagai langkah telah diambil termasuk menghasilkan vaksinasi bagi membendung wabak tersebut namun penjarakan sosial masih lagi menjadi alternatif terbaik untuk mencegah Covid-19.
"Terbaharu, tular sebuah video yang agak ekstrem memaparkan seorang pesakit Covid-19 dibawa turun menggunakan kren.
"Kejadian berlaku selepas tiada individu berani mendekati pesakit tersebut selain penduduk bimbang dijangkiti sekiranya lelaki terbabit turun menggunakan tangga," katanya.
Bagaimanapun, lokasi kejadian dan keadaan pesakit tersebut tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, rata-rata netizen mempertikaikan tindakan membawa turun pesakit menggunakan kren.
"Bagaimana sekiranya lelaki itu terjatuh dari kren, ia agak keterlaluan walaupun kita semua masih trauma dengan wabak Covid-19," kata Leslie.
"Semua orang tidak mahu dijangkiti Covid-19 namun tidak perlu sampai menggunakan kren kerana ia lebih bahaya dari wabak ini," jelas Chris.
"Mungkin ini cara terbaharu untuk mencegah Covid-19 dan hanya boleh berlaku di China," luah Alicia.
"Apa agaknya perasaan lelaki tersebut ketika menaiki kren, mungkin terus sihat selepas ini," kata Liong.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram