Misteri tangisan dalam rumah gelap, penduduk jumpa 2 kanak-kanak diikat rantai besi


  • Benua
  • Rabu, 26 Okt 2022

Tangkap layar keadaan dua kanak-kanak yang dirantai ibunya dalam sebuah rumah. — Agensi

BUNYI tangisan kanak-kanak dari sebuah rumah yang didengar seorang lelaki dalam perjalanan ke masjid akhirnya membawa kepada sesuatu yang mengejutkan.

Lelaki itu hairan bila mendengar tangisan kanak-kanak dalam sebuah rumah yang gelap sebelum mengajak beberapa orang kampung untuk membuat pemeriksaan.

Hasilnya, mereka menemukan dua kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun yang diikat dengan rantai di leher mereka.

Kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu di Tabanan, Indonesia kira-kira pukul 8 malam dan menurut saksi, seorang kanak-kanak itu ditemukan hanya memakai lampin sahaja.

Jelasnya, kedua-dua kanak-kanak itu juga berada dalam keadaan lapar dan sempat diberikan makanan oleh orang kampung sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Tabanan, Ranefli Dian Candra berkata, pihaknya sudah menahan ibu kanak-kanak tersebut untuk disoal siasat.

"Selain itu, beberapa barangan bukti yang lain seperti rantai besi yang mengikat kedua-dua kanak-kanak itu juga dirampas," katanya.

Ujarnya, kedua-dua kanak-kanak itu kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan sementara.

Dalam pada itu, seorang sumber memberitahu yang ibu kanak-kanak itu sering melakukan perkara tersebut namun tidak didedahkan sebelum ini.

Tambahnya, wanita itu berbuat demikian kerana perlu bekerja di Denpasar dan perlu meninggalkan anak-anaknya di rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram